Friday 25 September 2009

BOIKOT?

Dalam Sinar Harian edaran Perak 24hb Sept 2009, Ngeh Khoo Ham Pengerusi DAP Perak menyuarakan bahawa PR akan memboikot Sidang Dewan yang dijangkakan akan dipanggil oleh Speaker Dewan Dato R. Ganesan sebelum tempoh enam bulan tamat.

Menurutnya perlantikan Ganesan adalah tidak sah dan tidak mengikut peraturan Dewan. Dan macam-macam lagi alasan yang diberikannya bagi memperlihatkan kehodohan Speaker Ganesan, manakala di pihaknya semua dianggap suci.

Ada pemberita yang bertanya kepada saya -- apa komen terhadap kenyataan beliau itu? Saya jawab dengan mudah "anda semua percaya?".

Semua orang tidak mungkin melupai apa yang dilakukan oleh mereka apabila Sidang haram di bawah pokok diadakan. Mereka dengan bongkak dan angkuh menidakkan kuasa perisytiharan Sultan untuk memanggil Sidang Dewan yang haram sambil melaung-laungkan bahawa sidang mereka itu sah.

Tetapi apabila Sidang Dewan yang diisytiharkan oleh Tuanku selepas permohonan mengadap oleh saya sebagai Menteri Besar dibuat, mereka tetap masuk juga.

Malah mereka masuk dalam Sidang Dewan yang bersejarah itu dengan tindakan ganas dan biadap, seolah-olah negeri Perak tiada undang-undang dan institusi Raja tidak dipedulikan sama-sekali.

Malah yang mendukacitakan lagi ialah satu lagi episod tindakan di bulan ramadan baru-baru ini dengan memanggil satu lagi sidang dewan haram oleh seseorang yang menggelarkan dirinya speaker dengan tidak menghormati sekali lagi institusi Raja dan kerajaan yang ada.

Malah mereka membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar kedudukan Ganesan sebagai Speaker. Keputusan nyata menolak kes mereka. Tetapi masih mereka tidak puas hati.

Sekarang mereka buat lagi cerita baru bagi menunjukkan kesucian mereka. Saya tidak akan terkejut sekiranya Ngeh atau konco-konconya akan memberi kenyataan baru menyatakan mereka tetap akan menghadiri Sidang Dewan yang akan diadakan nanti.

Ingatlah apa yang diluahkan oleh Nizar sebelum ini bahawa Sidang Dewan yang akan datang akan menjadi lebih teruk daripada Sidang Dewan 7hb Mei lalu. Amarannya tidak akan dilupai begitu sahaja.

Tetapi saya amat hairan dengan sikap Nizar pada hari ini yang bersetuju pula dengan arahan Ngeh untuk tidak menghadiri Sidang Dewan. Setelah diteliti lebih mendalam dengan segala perbuatan dan sikap Nizar selama ini khususnya dalam proses membuat keputusan dan hubungan mesra Ngeh-Nizar maka wajarlah kenyataan Nizar itu setelah mendengar apa yang diarahkan oleh Ngeh.

Sikap mereka sama sahaja iaitu tidak akan membiarkan perjalanan yang lancar untuk BN memerintah. Tetapi semakin kuat mereka bertindak mencemar negeri Perak, semakin kuat pula saya menyaksikan kesungguhan rakyat untuk menolak sebarang bentuk keganasan dan paranoid politik mereka.

Thursday 24 September 2009

SELAMAT HARI LEBARAN

Saya mengucapkan selamat hari raya kepada sekelian ummat Islam.

Dalam merayakan eidul fitri ini semangat satu Malaysia diterjemahkan dengan tradisi rumah terbuka dan ucapan selamat hari raya dari semua bangsa rakyat Malaysia kepada rakan taulan mereka yang beragama Islam.

Alhamdulillah saya turut mengadakan sambutan hari raya ini. Kali ini di tiga lokasi dalam tiga hari perayaan. Hari pertama di kediaman MB. Hari kedua di kampung halaman saya Pulau Pangkor.

Manakala hari ketiga di Manjung. Alhamdulillah sambutan rakyat dari pelbagai bangsa amat memberansangkan sekali.

Saya pohon maaf sekiranya ada di antara tetamu yang tidak berkesempatan menjamah makanan disebabkan kesesakan.

Dalam pada itu terdapat juga cerita yang kurang enak sepanjang ramadan yang cuba meneruskan ketegangan politik. Namun saya menyeru supaya di bulan ramadan yang suci dan mulia dijadikan bulan untuk penyucian diri dan masa untuk merenung serta bermuhasabah diri.

Malangnya masih ada yang terus dengan agenda Sidang DUN di hotel Heritage. Ada pula dengan agenda konvoi bermotosikal Bubar DUN (dibatalkan di saat akhir). Tidak kurang juga dengan ceramah-ceramah atas nama Badr Kubra yang ditanam dengan permusuhan sesama ummat.

Dalam pada itu juga kain-kain rentang saya mengucapkan selamat ramadan turut dikoyak, direntap, dan dihilangkan. Paling terbaru ialah pada poster ucapan selamat menyambut hari raya disimbah cat.

Para pemberita ada bertanya saya tentang perkara ini. Saya kata tak apa lah dan biarlah rakyat menilai. Ada yang tidak suka dengan cara berlembut saya. Saya jawab untuk apa saya komen dengan penuh dendam dan geram kerana bayangkan sekiranya di bulan ramadan orang tua-tua kata "syaitan dan iblis diikat", jadi bila ada manusia yang bertindak demikian, maka tafsirlah sendiri jenis manusia seperti ini!

Oleh yang demikian saya percaya rakyat inginkan ketenteraman dan keamanan bagi menikmati kehidupan. Rakyat semakin muak dengan perilaku yang tak habis-habis cuba mencetuskan perbalahan, apatah lagi waktu bulan merayakan hari lebaran.

Inilah waktunya untuk kita hidup saling kerukunan. Sekiranya ada salah dan silap kita mohon maaf.

Saya juga tidak ketinggalan untuk memohon ampun dan maaf kepada sekelian rakyat jelata sekiranya ada kesilapan dan kesalahan. Marilah kita bermaaf-maafan

Saturday 19 September 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA MB PERAK

YAB DS Dr Zambry akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka pada 1 Syawal di kediaman rasmi dari jam 2 pm hingga 5 pm. Semua dijemput hadir.

Wednesday 2 September 2009

PERGINYA SEORANG TOKOH INTELEKTUAL

Pada malam 26hb Ogos sewaktu sedang berbuka puasa bersama di kediaman Perdana Menteri, saya menerima khabar melalui sms bahawa tokoh intelektual negara Prof Ismail Salleh telah meninggal dunia pada usia 61 tahun.

Beberapa tahun yang lalu setelah sekian lama tidak bertemu dengannya, saya melihat perubahan dirinya dan beliau menyatakan pada saya bahawa ia mulai menjalani rawatan dialisis. Namun semangat daya juangnya yang tinggi tidak langsung menunjukkan bahawa beliau menderita kesakitan.

Saya
amat terasa kehilangannya. Kepada keluarganya saya dapat merasai betapa mereka amat merindui dan menyayanginya.

Namun saya yakin tinta-tinta pemikirannya tetap segar dan akan semerbak. Beliau dianggap antara ahli ekonomi yang sangat terkenal dalam negara.

Perjuangannya untuk melihat ekonomi bangsa meningkat dan berdaya saing amat mengkagumkan. Meskipun beliau tidak pernah berada di pentas politik, namun suara keprihatinan politiknya amat dihormati oleh semua pihak.

Beliau adalah antara tokoh yang seringkali mempertahankan dasar DEB dan perlunya agihan yang saksama.

Sewaktu berada dalam Pemuda UMNO saya seringkali diutus oleh Ketua Pemuda UMNO waktu itu Hishammuddin Hussein untuk bertemu dengannya bagi membantu menyediakan buah fikiran khususnya dalam bidang ekonomi untuk ucapan dasar Ketua Pemuda Malaysia itu.

Saya masih ingat akan kekecewaannya melihat DEB tidak mencapai matlamat sepertimana yang disasarkan. Beliau banyak menasihatkan orang politik seperti saya supaya tidak melupai tuntutan perjuangan untuk membela nasib bangsa.

Kehilangan beliau amat dirasai oleh dunia akademia. Moga Allah merahmati ruhnya. Amin.