Sunday 6 December 2009

PRESTASI AHLI MAJLIS

Ahli -ahli Majlis adalah merupakan wakil rakyat bagi kawasan kerajaan tempatan. Sebelum ini perlantikan mereka dibuat melalui pilihanraya Majlis Tempatan. Tetapi sekarang pemilihan dilakukan melalui cadangan daripada parti-parti yang memerintah. Sistem ini berjalan dengan lancar dan menjadi sebahagian daripada struktur majlis kerajaan tempatan.


Ahli-ahli Majlis yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan setiap majlis daerah dapat berfungsi dengan baik. Tanggungjawab mereka samalah seperti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu perlu sentiasa berada di lapangan melihat segala permasalahan yang berlaku.

Sekiranya mereka yang dilantik gagal nenainkan peranan maka rakyat akan melihat sebagai kegagalan kerajaan yang memerintah.

Mereka perlu menjadi lebih inklusif dan efektif bagi melunaskan tanggungjawab kepada rakyat. Dalam suasana yang lebih terbuka hari ini tugas mereka sentiasa dinilai oleh rakyat.

Perlantikan mereka bukan lagi semata-mata atas rapatnya hubungan dengan ketua-ketua parti atau atas nama jawatan-jawatan yang mereka pegang dalam parti. Meskipun ia menjadi kriteria umum tetapi sumbangan mereka sebagai ahli majlis yang benar-benar efektif akan menjadi taruhan samada mereka mewakili imej parti yang yang baik atau sebaliknya.

Lantaran itulah saya menyebut bahawa ahli-ahli majlis mesti mempunyai KPI mereka. Asas KPI ini ialah samada mereka membuat kerja dengan baik atau tidak. Sekiranya mereka tidak melaksanakan tugas dengan baik maka adalah wajar untuk mereka mengundurkan diri dengan sukarela.

Dalam Majlis Tempatan kini sudah mempunyai Agenda 21. Ia adalah bagi memberi ruang kepada NGO dan suara-suara masyarakat sivil untuk turut berpartisipasi dalam Majlis-majlis tempatan. Saya telah mengarahkan supaya Agenda 21 ini diaktifkan sebagai suatu lagi bentuk dan struktur dalam Majlis Kerajaan Tempatan.

Saya harap idea ini akan diterjemahkan bagi membolehkan rakyat dapat lebih aktif dan berpartisipatif dalam memastikan kerajaan tempatan yang baik dan efisyen.