Sunday, 6 March 2011

PERJUMPAAN YAB MENTERI BESAR BERSAMA PELAJAR-PELAJAR PERAK YG MENUNTUT DI MESIR

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum wARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Pertamanya saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kesemua pelajar-pelajar Perak yang menuntut di Mesir telah selamat kembali ke tanah air bermula dari 7 hingga 14 Februari 2011 yang lalu. Kita amat bersyukur kerana pelajar-pelajar kita ini berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang berlakunya suasana tegang di bumi Mesir.

Alhamdulillah, pada hari ini setelah hampir sebulan, kita berkesempatan untuk beramah mesra bersama-sama dengan pelajar-pelajar ini serta para ibubapa mereka sebelum berangkat pulang semula ke Mesir untuk meneruskan pengajian mereka mulai 12 Mac 2011 ini secara berperingkat-peringkat.

Terlebih dahulu saya dan isteri amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar Perak yang menuntut di Mesir bersama para ibubapa yang hadir buat julung kalinya di kediaman rasmi Menteri Besar Perak ini. ”AHLAN WASAHLAN, WAMARHABAN BI KUM” saya ucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Program yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim serta merapatkan ”Ukhwah Islamiah” sesama kita saudara seagama. Di samping itu, kita juga ingin mengadakan doa selamat dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kesejahteraan serta keselamatan terhadap pelajar-pelajar kita yang menuntut di bumi Mesir.

Pada mesyuarat exco baru-baru ini, Kerajaan Negeri Perak telah memutuskan untuk membiayai kos penerbangan kesemua 696 pelajar yang akan menyambung semula pengajian mereka di Mesir. Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2,000 seorang, Kerajaan Negeri akan membelanjakan kira-kira RM1.5 juta untuk tujuan ini.

Di samping itu, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Perak (Maipk) akan memberikan wang saku RM500 setiap seorang sebagai persediaan bagi memulakan pengajian mereka di Mesir. Sumbangan wang saku ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM348,000.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Keputusan untuk membiayai kos penerbangan dan pemberian wang saku ini menunjukkan Kerajaan Negeri sangat perihatin tentang kebajikan dan kesejahteraan pelajar-pelajar Perak yang menuntut di Mesir. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu rakyatnya yang sedang mengalami kesulitan dan kesusahan.

Kerajaan Negeri Perak juga sebenarnya menanggung kos perjalanan  lebih 200 pelajar semasa mereka pulang dari Mesir pada awal bulan Februari yang lalu dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangunan SUK di Ipoh. Sebahagian pelajar yang tidak dijemput oleh ibubapa pula telah disediakan kereta sewa untuk dihantar pulang ke rumah masing-masing melibatkan seluruh daerah di negeri Perak. Kita juga pada masa yang sama telah menempatkan urusetia daripada MAIPk dan Yayaysan Perak di KLIA sepanjang tempoh 7 hari bermula 7 hingga 14 Februari 2011.

Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang tidak berasas apabila ada pihak yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak membantu  dalam menangani isu membabitkan pelajar kita ini. Saya juga mengharapkan agar para pelajar mengambil iktibar tentang situasi yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan negara-negara lain di Timur Tengah. Bagaimana sesebuah negara itu boleh runtuh dan musnah akibat dari pergolakan yang berlaku. Banyak kemusnahan harta benda awam dan pertumpahan darah  melibatkan kerugian negara berbilion-bilion ringgit.

Malah lebih menyedihkan apabila ia akan mengakibatkan campurtangan dan kemasukan kuasa
besar asing melalui tindakan ketenteraan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghargai keamanan
dan kemakmuran yang dikecapi selama ini.

Pelajar-pelajar sekalian,

Ibarat seorang bapa, saya ingin menasihatkan para pelajar sekalian supaya sentiasa bermuhasabah
diri. Janganlah terlalu taksub dengan sesuatu kumpulan atau kepartian, sehingga sanggup
memecah-belahkan persahabatan dan perpaduan ummah.

Sebagai umat Islam, persaudaraan sesama kita adalah sesuatu yang amat dituntut oleh agama. Kita
juga perlu membuang sifat mementingkan diri sendiri atau para jemaah kita sahaja, kerana
menjurus kepada satu pemikiran yang sempit. Sebaliknya, apa yang lebih penting adalah untuk kita
sama-sama memikirkan masalah atau cabaran yang dihadapi oleh seluruh ummah.

Di samping itu, para pelajar haruslah berfikiran terbuka dengan mengutamakan perpaduan ummah dan sentiasa berakhlak mulia dalam setiap urusan sesama manusia. Tambahan lagi, sebagai pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara,  saudara-saudari haruslah sentiasa mengingati amanah yang telah diberikan dan janganlah melupakan tanggungjawap kepada ibubapa, agama, bangsa dan negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai akhir kalam, saya bersama kepimpinan Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat
Menyambung Kembali Pengajian saudara/saudari di Mesir. Harapan saya supaya saudara-saudari
menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian masing-masing sama ada dalam bidang
Pengajian Islam, Syariah, Al-Quran, Farmasi, Perubatan dan lain-lain. Rebutlah peluang dan
kesempatan yang diberikan untuk belajar bersungguh-sungguh kerana ”antum’ adalah harapan
keluarga, agama, bangsa dan negara. Apabila sudah menamatkan pengajian kelak, saudara-saudari
akan menjadi pakar rujuk kepada masyarakat umum, khususnya dalam bidang agama dan
perubatan. 
Demikianlah saja ucapan saya, ”wailalliqa’” dan ”maassalamah”
Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.