Thursday, 24 September 2009

SELAMAT HARI LEBARAN

Saya mengucapkan selamat hari raya kepada sekelian ummat Islam.

Dalam merayakan eidul fitri ini semangat satu Malaysia diterjemahkan dengan tradisi rumah terbuka dan ucapan selamat hari raya dari semua bangsa rakyat Malaysia kepada rakan taulan mereka yang beragama Islam.

Alhamdulillah saya turut mengadakan sambutan hari raya ini. Kali ini di tiga lokasi dalam tiga hari perayaan. Hari pertama di kediaman MB. Hari kedua di kampung halaman saya Pulau Pangkor.

Manakala hari ketiga di Manjung. Alhamdulillah sambutan rakyat dari pelbagai bangsa amat memberansangkan sekali.

Saya pohon maaf sekiranya ada di antara tetamu yang tidak berkesempatan menjamah makanan disebabkan kesesakan.

Dalam pada itu terdapat juga cerita yang kurang enak sepanjang ramadan yang cuba meneruskan ketegangan politik. Namun saya menyeru supaya di bulan ramadan yang suci dan mulia dijadikan bulan untuk penyucian diri dan masa untuk merenung serta bermuhasabah diri.

Malangnya masih ada yang terus dengan agenda Sidang DUN di hotel Heritage. Ada pula dengan agenda konvoi bermotosikal Bubar DUN (dibatalkan di saat akhir). Tidak kurang juga dengan ceramah-ceramah atas nama Badr Kubra yang ditanam dengan permusuhan sesama ummat.

Dalam pada itu juga kain-kain rentang saya mengucapkan selamat ramadan turut dikoyak, direntap, dan dihilangkan. Paling terbaru ialah pada poster ucapan selamat menyambut hari raya disimbah cat.

Para pemberita ada bertanya saya tentang perkara ini. Saya kata tak apa lah dan biarlah rakyat menilai. Ada yang tidak suka dengan cara berlembut saya. Saya jawab untuk apa saya komen dengan penuh dendam dan geram kerana bayangkan sekiranya di bulan ramadan orang tua-tua kata "syaitan dan iblis diikat", jadi bila ada manusia yang bertindak demikian, maka tafsirlah sendiri jenis manusia seperti ini!

Oleh yang demikian saya percaya rakyat inginkan ketenteraman dan keamanan bagi menikmati kehidupan. Rakyat semakin muak dengan perilaku yang tak habis-habis cuba mencetuskan perbalahan, apatah lagi waktu bulan merayakan hari lebaran.

Inilah waktunya untuk kita hidup saling kerukunan. Sekiranya ada salah dan silap kita mohon maaf.

Saya juga tidak ketinggalan untuk memohon ampun dan maaf kepada sekelian rakyat jelata sekiranya ada kesilapan dan kesalahan. Marilah kita bermaaf-maafan