Wednesday, 2 September 2009

PERGINYA SEORANG TOKOH INTELEKTUAL

Pada malam 26hb Ogos sewaktu sedang berbuka puasa bersama di kediaman Perdana Menteri, saya menerima khabar melalui sms bahawa tokoh intelektual negara Prof Ismail Salleh telah meninggal dunia pada usia 61 tahun.

Beberapa tahun yang lalu setelah sekian lama tidak bertemu dengannya, saya melihat perubahan dirinya dan beliau menyatakan pada saya bahawa ia mulai menjalani rawatan dialisis. Namun semangat daya juangnya yang tinggi tidak langsung menunjukkan bahawa beliau menderita kesakitan.

Saya
amat terasa kehilangannya. Kepada keluarganya saya dapat merasai betapa mereka amat merindui dan menyayanginya.

Namun saya yakin tinta-tinta pemikirannya tetap segar dan akan semerbak. Beliau dianggap antara ahli ekonomi yang sangat terkenal dalam negara.

Perjuangannya untuk melihat ekonomi bangsa meningkat dan berdaya saing amat mengkagumkan. Meskipun beliau tidak pernah berada di pentas politik, namun suara keprihatinan politiknya amat dihormati oleh semua pihak.

Beliau adalah antara tokoh yang seringkali mempertahankan dasar DEB dan perlunya agihan yang saksama.

Sewaktu berada dalam Pemuda UMNO saya seringkali diutus oleh Ketua Pemuda UMNO waktu itu Hishammuddin Hussein untuk bertemu dengannya bagi membantu menyediakan buah fikiran khususnya dalam bidang ekonomi untuk ucapan dasar Ketua Pemuda Malaysia itu.

Saya masih ingat akan kekecewaannya melihat DEB tidak mencapai matlamat sepertimana yang disasarkan. Beliau banyak menasihatkan orang politik seperti saya supaya tidak melupai tuntutan perjuangan untuk membela nasib bangsa.

Kehilangan beliau amat dirasai oleh dunia akademia. Moga Allah merahmati ruhnya. Amin.