Saturday 2 January 2010

PERIHAL LAWATAN KE US


Saya mengharapkan bila fajar 2010 menyinsing akan memberi sinar kejayaan, kemakmuran dan keamanan kepada sekelian rakyat jelata. Termasuk di dalamnya kehidupan berpolitik yang lebih segar, penuh kematangan, dan berwibawa samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah berita dari Suara Keadilan dengan tajuk "Zambry disyaki pengganas". Pertama kali pemberita bertanya saya tentang hal itu ialah sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Parit Buntar pada 31hb Disember, 2009 selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Bt 5, Titi Serong.

Saya tidak komen panjang sebab saya belum membaca berita yang disiarkan itu. Keesokan harinya sewaktu menghadiri program Baiduri di Pangkor wartawan bertanya sekali lagi hal berkenaan dan kebetulan pula saya sudah membaca berita tersebut.

Saya sangat terkejut kerana Suara Keadilan yang kononnya selama ini memperjuangkan keadilan dan kebenaran sanggup merendahkan martabat mereka sampai ke tahap yang paling jijik dan menghinakan. Selama ini akhbar-akhbar dan blog-blog pembangkang menghina, memaki-hamun, dan memanggil saya bermacam-macam, saya hanya melemparkan senyuman atas kebobrokan moral politik mereka.

Tetapi kali ini nampaknya Suara Keadilan ini benar-benar main kasar dan meninju saya habis-habisan dengan tekad agar saya tumbang dengan pukulan TKO.Saya ingin menegaskan kepada mereka bahawa kalau itu yang mereka jangkakan, maka mereka silap sama sekali.

Saya tidak akan tunduk kepada manusia yang isin kuasa, manusia tidak takut kepada Tuhan, manusia yang hilang akhlak, manusia yang hidup dengan penuh menyilang kata, manusia yang pepat di luar rencung di dalam.

Saya dikatakan telah pulang semula ke Malaysia kerana tidak dibenarkan masuk ke US kerana disyaki berada dalam senarai pengganas. Rakyat menyaksikan dan membaca sendiri lawatan saya ke Amerika. Pertemuan demi pertemuan diadakan dengan pelbagai pihak bagi menarik pelaburan ke Perak.

Saya terharu dengan sambutan yang diberikan kerana dapat bertemu kumpulan pelabur yang berada di Silicon Valley dan San Francisco. Demikian juga dengan lawatan saya ke Boston meninjau pusat kajian teknologi solar selain bertemu dengan pelabur-pelabur Boston dalam satu jamuan makan malam, selain dapat berbincang ringkas dengan Dekan Sloan Business School, MIT.Selain itu dapat pula melawat Harvard Business School dan mengadakan pertemuan ringkas dengan seorang Profesornya.

Pembohongan besar yang mereka lakukan ini benar-benar menghapuskan sama sekali sisa-sisa wibawa yang masih terlekat pada tubuh badan mereka. Saya harap rakyat akan membuka mata melihat dengan hikmah dan berani menanggalkan topeng-topeng yang dipakai oleh parti Keadilan selama ini.