Bismillahir rahmanir rahim
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakaatuh
Salam sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Perak Amanjaya, Salam Satu Belia.
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin, limpah dan kurnia Nya saudara-saudari dapat menunaikan tanggungjawab sebagai ahli belia 4B dengan mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia kali ke 35 pada hari ini.
2. Saya amat berbesar hati kerana negeri Perak telah terpilih menjadi tuan rumah bagi perhimpunan ini. Terima kasih yang tidak terhingga pada semua perwakilan khususnya jawatankuasa pelaksana yang telah memilih Lumut sebagai tempat perhimpunan pemimpin-pemimpin belia dari seluruh negara.
3. Ia memberi peluang kepada saudara-saudari untuk melihat sendiri kemajuan yang telah dicapai oleh negeri Perak didalam pelbagai bidang. Sebenarnya tempat yang saudara-saudari duduki ini sendiri adalah salah satu tempat kebanggaan negeri Perak kerana ia merupakan salah satu pusat destinasi tumpuan pelancong di negeri ini.
Yang Berhormat, Y.Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
4. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada saudara Mua’amar Ghadafi Jamal yang merupakan anak jati Perak, di atas pelantikannya untuk menerajui kepimpinan 4B. Pemilihan beliau telah memenuhi Akta Pertubuhan Belia 2007 yang mewajibkan barisan pemimpin dan anggota semua persatuan belia berumur dibawah 40 tahun.
5. Tanggungjawab menerajui sebuah pertubuhan belia yang terbesar di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh diambil ringan. Nasihat saya agar kita jangan mudah lupa akan jasa orang yang terdahulu, yang telah banyak membantu pergerakan belia 4B ini. Selalulah merujuk kepada mantan-mantan pemimpin 4B terdahulu di dalam apa jua hal bak kata pepatah – ”yang muda disayangi, yang tua dikasihi”.
Saudara dan saudari sekalian,
6. Sebagai pewaris yang akan menentukan hala tuju masa depan Negara, para belia haruslah bersiap sedia dari segi ketahanan fizikal dan mental, dan berjuang demi mempertahankan kedaulatannya. Saudara saudari juga perlu mempunyai jati diri serta keutuhan agama demi menjaga keperibadian diri, masyarakat dan negara.
7. Kita semua sedia maklum apa yang telah terjadi pada pilihanraya umum ke-12 pada 2008 yang lalu. Akibatnya beberapa buah negeri telah jatuh ke tangan parti pembangkang. Dan saudara-saudari sendiri sedar setakat manakah pembangunan yang telah mereka bawa ke negeri-negeri ini sejak mereka mengambil alih. Saya pasti saudara-saudari yang juga mewakili setiap parlimen diseluruh negara, adalah lebih memahami situasi ini.
8. Saya berharap agar perhimpunan agung ini dapat menyatukan para belia disemua peringkat dan menggembleng tenaga demi menjaga keamanan dan kesejahteraan yang kita miliki sekarang. Ketahuilah bahawa saudara-saudari adalah generasi pewaris kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Apa yang paling penting adalah kerjasama daripada semua pihak dan berpeganglah kepada prinsip-prinsip rukunegara dan pertahankanlah agama islam sebagai agama rasmi di negara tanahair yang tercinta ini.
Saudara-saudari sekalian,
9. Sebelum saya mengakhiri ucapan, ingin saya berpesan bahawa apa yang kita miliki pada hari ini tidak akan kekal selamanya. Segala yang kita bina tidak akan kukuh jika kita semua tidak bersatu padu dalam semua bidang kerja yang dilakukan. Bergeraklah secara berkumpulan demi memastikan kejayaan dapat dinikmati bersama. Binalah rangkaian didalam persahabatan 4B ini dengan erat dan kumpulkan anak-anak muda kita. Kukuhkan 4B disemua peringkat, jalankan agenda dan misi nasional. Saya percaya 4B akan menjadi pendokong kuat kepada parti UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.
Dengan lafaz bismillah, saya merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Kali ke 35 ini.
Sekian,
Wabillahitaufik walhidayah
Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.