Monday, 18 May 2009

HELAH PAKATAN PEMBANGKANG

KHAMIS ini 21 Mei 2009, Mahkamah Rayuan akan mendengar kes rayuan saya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 11 Mei lepas.

Seperti yang saya katakan, sebagai seorang yang menghormati kedaulatan undang-undang, saya akan menerima keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian tentang beberapa perkara yang berlaku sepanjang dua minggu ini.

Selepas posting saya yang terakhir, muncul tuduhan mengatakan saya menyamakan diri saya dengan Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyamakan diri saya dengan dua tokoh besar itu.

Posting saya telah diputar-belitkan oleh beberapa individu untuk kepentingan satu pihak yang lain. Jika diamati betul-betul tidak ada satu patah perkataan pun dalam posting itu yang menyatakan saya sehebat dua tokoh berkenaan.

Ini adalah contoh taktik dan strategi pembangkang untuk memburuk-burukkan saingan politik mereka. Fitnah serta “putar-belit” adalah cara pembangkang supaya rakyat benci kepada UMNO dan Barisan Nasional. Ini bukanlah fenomena baru.

Kedua, ialah tuduhan mengatakan saya dan BN menggunakan mahkamah bagi tujuan untuk berkuasa. Jika dilihat betul-betul, pakatan pembangkanglah yang cuba merampas kuasa menggunakan institusi mahkamah.

Ia berlaku apabila Nizar Jamaluddin dan pakatan pembangkang hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri dan dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar. Nizar membawa perkara ini ke mahkamah. Jadi tuduhan mengatakan Barisan Nasional cuba menggunakan mahkamah untuk terus berkuasa tidak timbul.

Sebaliknya pakatan pembangkanglah yang menggunakan mahkamah.

Tuduhan ini dijaja merata-rata dalam ceramah dan blog-blog tertentu. Selain itu Barisan juga dituduh sebagai “perampas kuasa”.

Soalnya, adakah logik bagi pihak yang mempunyai majoriti dituduh sebagai perampas kuasa? Barisan Nasional mempunyai 31 sokongan dalam DUN (28 kerusi dan tiga Adun bebas). Adalah tidak perlu Barisan Nasional merampas kuasa kerana mempunyai sokongan majoriti.

Bagaimanapun, pakatan tidak dapat menerima kenyataan dan terus-menerus mengadakan serangan menuduh saya serta BN sebagai perampas dan perompak. Pada hakikatnya merekalah yang cuba merampas dan merompak kuasa. Bukan BN!

Salam perjuangan.