Saturday, 7 November 2009

SIDANG DUN DAN BAJET 2010 PERAK

Sudah agak lama saya tidak menghantar sebarang catatan.

Setelah habis sidang DUN Perak pada 28hb September 2009 saya teruskan dengan kerja-kerja pentadbiran menghadiri pelbagai mesyuarat di peringkat pusat dan negeri.

Alhamdulillah di sebalik usaha bersungguh-sungguh untuk menggagalkan sidang DUN saya dan rakan-rakan tidak terasuk oleh permainan mereka.

Rakan-rakan BN amat berdisiplin ketika berada dalam dewan. Ini menyebabkan kalangan pembangkang tenggelam punca dan akhirnya bertindak keluar Dewan selepas melepasi kelayakan kehadiran mereka.

Mereka menjadi serba salah kerana pada awalnya mereka mengatakan untuk tidak mahu hadir atas alasan kononnya tidak mengiktiraf Dato Ganesan yang telah mendapat perkenan perisytiharan memanggil sidang Dewan oleh Ke Bawah Dulu Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Tetapi akhirnya mereka terpaksa hadir juga kononnya atas alasan ADUN Tronoh Sivakumar yang memanggil sidang Dewan itu. Mereka sedia maklum sekiranya tidak hadir bermakna kedudukan mereka sebagai ahli Dewan juga akan tergugat, kalau-kalau tindakan diambil oleh Dato Ganesan.
Saya ucapkan terima kasih kepada Pembangkang ini meskipun mereka bersungguh-sungguh mengatakan tidak mahu hadir dan tidak iktiraf Ganesan, tetapi akhirnya akur juga kedudukan Ganesan dan tetap hadir.