Friday, 28 August 2009

RAMADHAN

Saya ucapkan Ramadan Karim.

Agak lama jua saya tidak menulis. Ramadan kali ini dipenuhi dengan jadual yang ketat dalam melaksanakan tuntutan.

Saya mengharapkan ramadan kali ini akan dapat membentuk rasa kasih dan sayang sesama ummat. Meskipun wujud perbedaan dalam soal berpolitik tetapi rasa ukhuwwah sewajarnya melepasi rasa politik.

Lantaran itu usahlah kita keterlaluan melemparkan nista dan memisahkan kasih sayang sewaktu ramadan ini. Usahlah menggunakan tazkirah ramadan untuk menanamkan lagi permusuhan antara kita.

Saya amat merindui ummat Islam kita bersatu dalam satu kalimah Ilahi yang wahid. Janganlah dibiarkan soal bacaan politik yang sempit dan dangkal memisahkan kita semata-mata atas nama kerakusan kuasa sehingga ayat-ayat Allah dijual dengan harga yang murah.

Janganlah membiarkan diri ummat sendiri diadu-domba sehingga hilang segala kekuatan di sebalik jumlah yang banyak.

Sekiranya wujud perbezaan, carilah titik -titik persamaan. Janganlah menjatuhkan hukuman kepada sesama ummat lebih buruk daripada taraf golongan yang menyekutukan Allah atau mereka yang sememangnya dikategorikan sebagai kafir harbi.

Masa untuk ummat bersatu tetap wujud meskipun dihalang dari pelbagai ranjau. Ramadan adalah bulan yang suci untuk kita menyucikan diri.

Thursday, 27 August 2009

SYURGA DAN NERAKA

Saya kurang selesa dengan pertelagahan ummat Islam hari ini sehingga membawa kepada siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang masuk neraka.

Pertelingkahan ini meriwayatkan kembali golongan yang bertentangan sesama sendiri dalam sejarah ummat Islam sehingga menimbulkan siapakah yang mendapat tempat sebagai firqah najiyah (golongan yang berjaya dan mendapat tempat di sisi Allah).

Maka timbullah pelbagai fahaman dan golongan yang antaranya mengkafirkan sesama sendiri seperti golongan khawarij.

Saya kurang pasti apakah yang disaksikan oleh ummat Islam Malaysia ini adalah lanjutan dari apa yang berlaku selama ini?

Ummat Islam sudah tidak lagi ada sifat kasih sayang sesama sendiri, tidak ada lagi sifat rahmah, sifat tasamuh (berlapang dada) dan sifat kelembutan sesama sendiri.

Sindiran dan tuduhan bahawa Islam yang dibawa dan diperjuangkan oleh orang lain sebagai Islam plastik dan Islam yang tak boleh bawa ke syurga adalah kenyataan yang meletakkan kumpulannya saja yang betul.

Secara logiknya kalau sesiapa nak masuk ke syurga perlu masuk kumpulannya. Ini adalah suatu kenyataan luar biasa yang datangnya dari orang menganggap dirinya cukup sempurna dengan ilmu Islamnya. Akibatnya ummat Islam terus berkelahi sesama sendiri.

Dalam Ramadan yang mulia ini marilah kita meningkatkan amal dan jauhkan diri dari segala sifat mazmumah (kejahatan) yang boleh membawa kerosakan iman dan taqwa. Iman dan taqwa tidak terletak kepada parti, tetapi terletak kepada amalan soleh setiap manusia yang dijadikan oleh untuk mengabdikan diri kepada Nya.

Monday, 24 August 2009

PERMATANG PASIR OH PERMATANG PASIR

Entah apalah nasib parlimen Permatang Pauh yang sudah tiga kali dalam tempoh tak sampai 2 tahun menyaksikan pilihanraya kecil. Kecuali kes Permatang Pasir ini dengan kematian wakil rakyatnya, dua lagi iaitu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Pilihanraya kecil Penanti benar-benar merupakan pilihanraya sesuka hati kepala PKR Anwar Ibrahim untuk menukar apa saja mengikut kemahuannya.

Sepanjang berada di Permatang Pasir ini keadaannya sedikit suram dengan kedatangan Ramadan dan hujan.

Saturday, 8 August 2009

MENGEMAS PENTADBIRAN TANAH

Pagi semalam (7 Ogos 2009) saya bersama dengan kakitangan kerajaan yang terdiri daripada penolong pegawai tanah atau biasanya dipanggil SO tanah.

Pentadbiran tanah adalah merupakan suatu yang sangat penting kepada mana-mana kerjaan negeri. Ia menjadi nadi pendapatan negeri hasil dari kutipan cukai, premium, hasil mineral dan batuan dan sebagainya.

Sebab itu pendekatan yang terbaik untuk menambah hasil negeri sentiasa tertumpu kepada pejabat tanah dan galian. Sebagai contoh pendapatan kerajaan negeri dari pejabat PTG pada tahun lalu bertambah kepada RM385juta.

Ini hasil daripada perancangan yang dibuat sejak tahun 2007 sewaktu dalam pemerintahan BN lagi. Tetapi ada pihak yang membuat dakwaan kononnya semenjak 11 bulan mereka memerintah hasil negeri terus naik.

Tanyalah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri apakah dakwaan yang dibuat oleh mereka itu benar atau palsu?

Dalam lawatan-lawatan saya bertemu dengan rakyat, hampir 70 peratus dari masalah yang dikemukakan adalah berkaitan dengan masalah tanah seperti permohonan yang tidak diluluskan.

Ada juga permohonan-permohonan yang dibuat tetapi telah diluluskan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi hak milik. Akibatnya Barisan Nasional terpaksa berhadapan dengan kesan yang paling buruk dalam pilihanraya kerana rakyat melihat ini adalah kesalahan BN.

Sebab itu ada pihak cuba menjadikannya isu politik dan bertindak menjadi juara kepada rakyat. Tetapi akhirnya mereka sendiri menjadi mangsa kerana tidak mampu menyelesaikan segala janji mereka kepada rakyat.

Ada pula yang bertindak keterlaluan. Ini termasuklah tindakan seorang ahli parlimen pembangkang yang mahu menjadi juara dan membawa berpuluh-puluh orang ke pejabat tanah kononnya untuk memberi borang 5A kepada penduduk.

Pegawai daerah, penolong pegawai daerah tanah, kerani, dan anggota lain sendiri tidak mengetahui langsung tentang bagaimana tindakan seorang begitu berani mengeluarkannya semata-mata memenuhi selera pakatan pembangkang.

Ini suatu tindakan yang paling tidak beretika dan tidak bermoral dengan cuba menggalakan pentadbiran anarki berleluasa.

Ada pula yang cuba membangkitkan sentimen perkauman bahawa kononnya kerajaan BN pimpinan saya cuba menidakkan kaum-kaum tertentu daripada mendapatkan hak-hak pemilikan tanah.

Sekali lagi mereka bermain dengan sentimen ini agar mendapat dan menagih simpati rakyat untuk menyokong mereka. Malah mereka bertindak dengan membohongi rakyat kononnya saya telah memberi tanah seluas lebih 35 ribu hektar tanah kepada satu syarikat kroni saya.

Malah sebelum ini mereka turut menuduh saya menarik balik pemberian tanah seluas 40 ekar tanah kepada sebuah institusi pondok. Mereka ini merasa tidak bersalah dengan membohongi rakyat.

Kononnya merekalah pejuang dan pembela rakyat. Merekalah saja yang betul dalam segala tindakan.

Mereka juga cuba menjadi juara dengan mengumpulkan rakyat kononnya merekalah yang berjaya menyelesaikan masalah tanah rakyat. Contohnya ada satu kes di mana semua orang sudah tahu bahawa saya akan menyelesaikan masalah penduduk di satu kawasan di mana ada kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Oleh kerana mereka sanggup untuk terus duduk bersama walaupun dengan keluasan yang sedikit kecil antara satu sama lain, maka saya katakan bahawa kerajaan tidak ada masalah untuk ditempatkan di satu kawasan sahaja. Ianya sudah dapat dihidu oleh ahli parlimen pembangkang ini.

Seperti biasa kerjanya ialah dengan mengumpul orang berdemonstrasi sahaja. Bila saya selesaikan masalah itu dia pun mendabik dada sebagai seorang juara pembelaan rakyat.

Apapun saya sebutkan kepada para pegawai kerajaan supaya tidak tertekan dengan karenah yang ditunjukkan oleh pembangkang ini. Biarlah kita melaksanakan tugas dengan penuh amanah agar negeri Perak mempunyai hasil yang mencukupi, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan prinsip asas yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Rakyat mengimpikan sebuah pentadbiran yang jujur dan amanah serta tangkas dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Sunday, 2 August 2009

PERSIDANGAN RAJA-RAJA DI SARAWAK

Sepanjang minggu ini saya berada di Sarawak bagi menghadiri Persidangan Majlis Raja-raja. Persidangan kali ke 218 kali ini diadakan di Kuching, Sarawak.

Saya melihat Kuching pesat membangun. Lapangan terbang yang canggih hinggalah ke bangunan Dewan Undangan Negeri yang terindah.

Saya kagum melihat hasil sentuhan Hijaz Kasturi dan ilham Ketua Menterinya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan tersergam indahnya bangunan Dewan Undangan Negeri yang berharga RM300juta.

Saya pasti sesiapa ke Kuching tidak akan melepaskan peluang untuk melawat tempat ini.Meskipun begitu masih ada pihak yang terus kemaruk untuk meneruskan agenda menawan Sarawak pada pilihanraya negeri yang dijangkakan pada tahun 2011.

Mereka bermain dengan sentimen yang cuba meniupkan api kebencian dan kemarahan kaum tertentu terhadap kerajaan yang ada.

Ada di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri datang sambil memancing kesempatan memberitahu kalangan rakyat Sarawak apa yang mereka perlu buat. Umpamanya ada yang mengsyorkan agar diwujudkan Tabung Khas untuk kaum tertentu untuk membantu mereka mengatasi masalah kemiskinan tegar di Sarawak.

Saya kurang pasti apakah di negeri yang di perintah olehnya sudah selesai masalah kemiskinan tegar dengan mewujudkan cara yang sama. Ada seorang lagi Ketua Kerajaan Negeri yang mendakwa akan memberi air percuma sekiranya mereka dapat memerintah Sarawak.

Selepas melihat perkembangan seperti ini saya yakin Ketua Menteri Sarawak yang terkenal dengan kepintaran politiknya mempunyai agenda-agenda penting buat sekelian rakyat. Seorang menteri pengiring memberitahu saya bahawa beliau tidak faham kenapa mereka mahu menggugat politik pembangunan di Sarawak.

Anak dari rumah panjang sepertinya kini menikmati peluang pendidikan dan peningkatan taraf hidup. Namun adakalanya hasil dari usaha yang dilakukan ini telah menimbulkan kesan ke arah kebebasan dan hak yang lebih.

Apapun Sarawak adalah antara negeri contoh terbaik bagi 1Malaysia.