Sunday 2 August 2009

PERSIDANGAN RAJA-RAJA DI SARAWAK

Sepanjang minggu ini saya berada di Sarawak bagi menghadiri Persidangan Majlis Raja-raja. Persidangan kali ke 218 kali ini diadakan di Kuching, Sarawak.

Saya melihat Kuching pesat membangun. Lapangan terbang yang canggih hinggalah ke bangunan Dewan Undangan Negeri yang terindah.

Saya kagum melihat hasil sentuhan Hijaz Kasturi dan ilham Ketua Menterinya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan tersergam indahnya bangunan Dewan Undangan Negeri yang berharga RM300juta.

Saya pasti sesiapa ke Kuching tidak akan melepaskan peluang untuk melawat tempat ini.Meskipun begitu masih ada pihak yang terus kemaruk untuk meneruskan agenda menawan Sarawak pada pilihanraya negeri yang dijangkakan pada tahun 2011.

Mereka bermain dengan sentimen yang cuba meniupkan api kebencian dan kemarahan kaum tertentu terhadap kerajaan yang ada.

Ada di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri datang sambil memancing kesempatan memberitahu kalangan rakyat Sarawak apa yang mereka perlu buat. Umpamanya ada yang mengsyorkan agar diwujudkan Tabung Khas untuk kaum tertentu untuk membantu mereka mengatasi masalah kemiskinan tegar di Sarawak.

Saya kurang pasti apakah di negeri yang di perintah olehnya sudah selesai masalah kemiskinan tegar dengan mewujudkan cara yang sama. Ada seorang lagi Ketua Kerajaan Negeri yang mendakwa akan memberi air percuma sekiranya mereka dapat memerintah Sarawak.

Selepas melihat perkembangan seperti ini saya yakin Ketua Menteri Sarawak yang terkenal dengan kepintaran politiknya mempunyai agenda-agenda penting buat sekelian rakyat. Seorang menteri pengiring memberitahu saya bahawa beliau tidak faham kenapa mereka mahu menggugat politik pembangunan di Sarawak.

Anak dari rumah panjang sepertinya kini menikmati peluang pendidikan dan peningkatan taraf hidup. Namun adakalanya hasil dari usaha yang dilakukan ini telah menimbulkan kesan ke arah kebebasan dan hak yang lebih.

Apapun Sarawak adalah antara negeri contoh terbaik bagi 1Malaysia.