Wednesday 29 July 2009

TINDAKAN SIVAKUMAR

ISNIN lepas (27 Julai), Ngeh, Sivakumar dan juak-juaknya sekali lagi menunjukkan kejengkelan mereka.

Mereka mahu memasuki Pejabat SUK kononnya untuk mengadakan perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk speaker Dewan yang baru Dato R. Ganesan. Pada sebelah petangnya Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai) pula memasuki pejabat saya untuk menyerahkan saman untuk hadir bagi mengadapkan saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ini bukan pertama kali mereka lakukan pada saya. Sudah beberapa kali mereka lakukan. Siapa mereka ini? Tidak lain hanyalah golongan pengacau dan pengganggu yang mahu melihat negeri Perak tidak aman di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Malah mereka maklum bahawa suasana yang berlaku di negeri Perak kini semakin menjurus kepada keamanan dan pentadbiran yang berkesan. Saya ingin menyatakan kepada mereka bahawa kalau mereka ingat dengan melakukan perbuatan-perbuatan tidak senonoh seperti dapat menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan yang ada ini, mereka silap sama-sekali.

Saya tidak akan tunduk kepada desakan dan tindakan biadab yang tidak mengenal batas undang-undang dan peraturan.Sivakumar dan ahli-ahlinya tahu bahawa mereka hanyalah bekas speaker dan ahli-ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Saya tidak akan mudah terikut dengan rentak tarian canggong mereka. Saya yakin tindakan yang dilakukan ini juga bertujuan menutup kelemahan Pakatan yang semakin ketara, krisis dalaman sesama sendiri, isu-isu antara mereka yang semakin serius.

Saya juga yakin bahawa ini dilakukan bagi membuat persiapan untuk menghadapi sidang DUN yang akan datang iaitu sewaktu perbentangan belanjawan dibuat. Ia juga dibuat dengan hasrat rakyat tidak akan berada dalam suasana selesa dan rasional untuk menilai siapa sebenarnya bekerja untuk kemakmuran rakyat.

Malah mereka tahu bahawa populariti mereka semakin merosot di negeri Perak. Saya juga sedia maklum bahawa mereka mengharapkan pilihanraya semula akan diadakan pada bila-bila masa. Justeru digerakkan sekali lagi suasana tidak menentu di Perak bagi meyakinkan rakyat bahawa pihanraya semula perlu diadakan.

Saya percaya rakyat tidak akan termakan dengan cara dakyah mereka. Sivakumar tahu bahawa dia hanyalah ADUN biasa. Tindakannya terhadap saya sekali lagi menunjukkan sikap penghinaan terhadap keputusan mahkamah yang telah memutuskan bahawa keputusan yang dilakukannya dahulu menggantung saya ada tidak sah.