Wednesday 15 July 2009

KEPUTUSAN MANEK URAI

Saya tidak terkejut dengan keputusan pilihanraya kecil Manik Urai yang memberi kelebihan kepada calon PAS dengan 65 undi.

Meskipun Husam Musa cuba menutup malu dengan mengatakan PAS menjangkakan akan kalah, sukar untuk percaya dengan kenyataan itu kerana semua orang tahu Manik Urai adalah kubu kental PAS.

Sewaktu keputusan diumumkan secara rasmi saya bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Majlis Tilawah al-Qur'an peringkat kebangsaan di Univeriti Teknologi Petronas, Tronoh.

Meskipun beliau kelihatan sedikit kecewa, tetapi ratusan sms yang diterima atas nama kemenangan moral menyebabkan beliau kembali ceria. Apatah lagi bila PM menelefon beliau dan mengucapkan tahniah dengan kemampuan BN kembali mendapat sokongan rakyat.

Saya yakin PAS sangat merasai "kekalahan" ini. Ketika PAS sedang berusaha untuk menjadi alternatif kepada UMNO, dan ketika imej UMNO dianggap berada di tangga terbawah, keputusan Manik Urai belum menjanjikan apa-apa untuk PAS.

Ini disebabkan sikap PAS yang keterlaluan dalam soal berpolitik sehingga menafikan agenda-agenda lebih besar buat ummat.

Orang Melayu melihat tingkah-laku PAS yang kemaruk kuasa agak keterlaluan. Sewaktu berkempen dan ceramah-ceramah yang disampaikan mereka begitu sombong dan angkuh. Kalau selama ini mereka anggap UMNO dan BN sombong, maka kini mereka sedang dilihat sebagai parti yang angkuh dan sombong.

Strategi kesucian Tok Guru yang digunakan juga sudah terungkai di Manik Urai. Orang Melayu lemas dengan kenyataan-kenyataan politik Tok Guru yang menolak perpaduan dan menyamakan UMNO seperti komunis dan Ayah Pin.

Jauh di lubuk hati orang Melayu tidak dapat menerima kenyataan ini meskipun indoktrinasi PAS dalam isu kafir-mengkafir terus berjalan.

Melihat jentera PAS amat hebat dan menggerunkan. Ia mengingatkan suatu ketika dulu bila jentera pilihanraya BN menguasai setiap penjuru. Kini PAS cukup hebat dengan poster, bendera, kenderaan, peralatan-peralatan canggih sehingga ada yang bertanya banyak sungguh duit PAS sekarang.

Tambahan lagi dengan kerajaan yang dikuasainya dan tindakan memberi cuti sehari tidak sepatutnya ia mendapat hanya 65 undi.

Saya anggap masa untuk melihat survival ummat masih belum terlambat. PAS khususnya pemimpin-pemimpin utamanya boleh melakukan anjakan baru dengan benar-benar kembali menghayati kemurniaan Islam yang dilandasi oleh ilmu dan iman, bukannya seteru dan fitnah asakan.