Saturday, 8 August 2009

MENGEMAS PENTADBIRAN TANAH

Pagi semalam (7 Ogos 2009) saya bersama dengan kakitangan kerajaan yang terdiri daripada penolong pegawai tanah atau biasanya dipanggil SO tanah.

Pentadbiran tanah adalah merupakan suatu yang sangat penting kepada mana-mana kerjaan negeri. Ia menjadi nadi pendapatan negeri hasil dari kutipan cukai, premium, hasil mineral dan batuan dan sebagainya.

Sebab itu pendekatan yang terbaik untuk menambah hasil negeri sentiasa tertumpu kepada pejabat tanah dan galian. Sebagai contoh pendapatan kerajaan negeri dari pejabat PTG pada tahun lalu bertambah kepada RM385juta.

Ini hasil daripada perancangan yang dibuat sejak tahun 2007 sewaktu dalam pemerintahan BN lagi. Tetapi ada pihak yang membuat dakwaan kononnya semenjak 11 bulan mereka memerintah hasil negeri terus naik.

Tanyalah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri apakah dakwaan yang dibuat oleh mereka itu benar atau palsu?

Dalam lawatan-lawatan saya bertemu dengan rakyat, hampir 70 peratus dari masalah yang dikemukakan adalah berkaitan dengan masalah tanah seperti permohonan yang tidak diluluskan.

Ada juga permohonan-permohonan yang dibuat tetapi telah diluluskan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi hak milik. Akibatnya Barisan Nasional terpaksa berhadapan dengan kesan yang paling buruk dalam pilihanraya kerana rakyat melihat ini adalah kesalahan BN.

Sebab itu ada pihak cuba menjadikannya isu politik dan bertindak menjadi juara kepada rakyat. Tetapi akhirnya mereka sendiri menjadi mangsa kerana tidak mampu menyelesaikan segala janji mereka kepada rakyat.

Ada pula yang bertindak keterlaluan. Ini termasuklah tindakan seorang ahli parlimen pembangkang yang mahu menjadi juara dan membawa berpuluh-puluh orang ke pejabat tanah kononnya untuk memberi borang 5A kepada penduduk.

Pegawai daerah, penolong pegawai daerah tanah, kerani, dan anggota lain sendiri tidak mengetahui langsung tentang bagaimana tindakan seorang begitu berani mengeluarkannya semata-mata memenuhi selera pakatan pembangkang.

Ini suatu tindakan yang paling tidak beretika dan tidak bermoral dengan cuba menggalakan pentadbiran anarki berleluasa.

Ada pula yang cuba membangkitkan sentimen perkauman bahawa kononnya kerajaan BN pimpinan saya cuba menidakkan kaum-kaum tertentu daripada mendapatkan hak-hak pemilikan tanah.

Sekali lagi mereka bermain dengan sentimen ini agar mendapat dan menagih simpati rakyat untuk menyokong mereka. Malah mereka bertindak dengan membohongi rakyat kononnya saya telah memberi tanah seluas lebih 35 ribu hektar tanah kepada satu syarikat kroni saya.

Malah sebelum ini mereka turut menuduh saya menarik balik pemberian tanah seluas 40 ekar tanah kepada sebuah institusi pondok. Mereka ini merasa tidak bersalah dengan membohongi rakyat.

Kononnya merekalah pejuang dan pembela rakyat. Merekalah saja yang betul dalam segala tindakan.

Mereka juga cuba menjadi juara dengan mengumpulkan rakyat kononnya merekalah yang berjaya menyelesaikan masalah tanah rakyat. Contohnya ada satu kes di mana semua orang sudah tahu bahawa saya akan menyelesaikan masalah penduduk di satu kawasan di mana ada kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Oleh kerana mereka sanggup untuk terus duduk bersama walaupun dengan keluasan yang sedikit kecil antara satu sama lain, maka saya katakan bahawa kerajaan tidak ada masalah untuk ditempatkan di satu kawasan sahaja. Ianya sudah dapat dihidu oleh ahli parlimen pembangkang ini.

Seperti biasa kerjanya ialah dengan mengumpul orang berdemonstrasi sahaja. Bila saya selesaikan masalah itu dia pun mendabik dada sebagai seorang juara pembelaan rakyat.

Apapun saya sebutkan kepada para pegawai kerajaan supaya tidak tertekan dengan karenah yang ditunjukkan oleh pembangkang ini. Biarlah kita melaksanakan tugas dengan penuh amanah agar negeri Perak mempunyai hasil yang mencukupi, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan prinsip asas yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Rakyat mengimpikan sebuah pentadbiran yang jujur dan amanah serta tangkas dalam menyelesaikan masalah rakyat.