Thursday, 27 August 2009

SYURGA DAN NERAKA

Saya kurang selesa dengan pertelagahan ummat Islam hari ini sehingga membawa kepada siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang masuk neraka.

Pertelingkahan ini meriwayatkan kembali golongan yang bertentangan sesama sendiri dalam sejarah ummat Islam sehingga menimbulkan siapakah yang mendapat tempat sebagai firqah najiyah (golongan yang berjaya dan mendapat tempat di sisi Allah).

Maka timbullah pelbagai fahaman dan golongan yang antaranya mengkafirkan sesama sendiri seperti golongan khawarij.

Saya kurang pasti apakah yang disaksikan oleh ummat Islam Malaysia ini adalah lanjutan dari apa yang berlaku selama ini?

Ummat Islam sudah tidak lagi ada sifat kasih sayang sesama sendiri, tidak ada lagi sifat rahmah, sifat tasamuh (berlapang dada) dan sifat kelembutan sesama sendiri.

Sindiran dan tuduhan bahawa Islam yang dibawa dan diperjuangkan oleh orang lain sebagai Islam plastik dan Islam yang tak boleh bawa ke syurga adalah kenyataan yang meletakkan kumpulannya saja yang betul.

Secara logiknya kalau sesiapa nak masuk ke syurga perlu masuk kumpulannya. Ini adalah suatu kenyataan luar biasa yang datangnya dari orang menganggap dirinya cukup sempurna dengan ilmu Islamnya. Akibatnya ummat Islam terus berkelahi sesama sendiri.

Dalam Ramadan yang mulia ini marilah kita meningkatkan amal dan jauhkan diri dari segala sifat mazmumah (kejahatan) yang boleh membawa kerosakan iman dan taqwa. Iman dan taqwa tidak terletak kepada parti, tetapi terletak kepada amalan soleh setiap manusia yang dijadikan oleh untuk mengabdikan diri kepada Nya.