Monday, 29 June 2009

BENCI TANPA RINDU

Saya menghargai setiap pandangan yang dilontar untuk mengukuhkan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam siri lawatan saya ke daerah-dearah saya dapati pelbagai aduan dikemukakan. Mereka bertanya dengan penuh beradab sekali.

Perkara yang menjadi cabaran sekarang ialah bagaimana pegawai-pegawai pelaksana dapat melangsaikan semua aduan dan keluhan rakyat. Saya sebutkan bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu ada ADUN Pembangkang yang mahukan saya mendengar masalah di kawasan mereka. Cuma ada yang segan. Ada yang telefon saya, tetapi setelah ditentukan tarikh untuk datang, dia tidak datang.

Saya tidak tahu mengapa.

Mungkin dia berfikir semula samada perlu datang atau tidak. Kalau datang bermakna dia terpaksa menjilat ludahnya. Kalau tak datang rakyat di kawasannya sedang memaki-hamun akan sikapnya yang tidak melakukan apa-apa perkhidmatan kepada mereka.

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham khabarnya mengatakan bahawa saya melenting apabila dikritik oleh Pakatan Pembangkang. Saya tak tahu apa yang dimaksudkannya. Dia lebih tahu bagaimana sikap saya selama ini yang tidak mudah mencebik atau memaki hamun atau melenting tak tentu pasal.

Yang selalu melenting ialah dia dan konco-konconya. Mereka sentiasa rasa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah dan dosa belaka.

Saya tidak pernah mendiskriminasikan setiap permasalahan yang dibawa olehnya sewaktu saya menjadi ahli exco kerajaan negeri zaman Barisan Nasional dulu. Waktu itu dia memuji saya melangit kerana sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat.Apapun yang mereka kata, sekelian kita perlu bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.

Tanggungjawab sekelian kita ialah kembali mendambakan diri kepada rakyat, dan bersama dengan rakyat, dan tidak menari mengikut rentak mereka.

Saturday, 27 June 2009

DILEMMA PPSMI

Sejak ia diperkenalkan PPSMI telah mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju dengan gagasan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu.

Bagaimanapun ramai juga khususnya pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan termasuk kelompok persatuan-persatuan Cina menentang keras pelaksanaannya. Kemuncak penentangannya, yang turut dieksploitasi oleh pembangkang, ialah demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur suatu ketika dulu.

Banyak kajian yang menunjukkan pencapaian pelajar Melayu semakin menurun. Malah saya difahamkan pelajar India lebih baik pencapaiannya. Kohort pertama sudahpun keluar.

Apakah pelajar Melayu sahaja yang menjadi mangsa? Ini kerana lebih daripada 60 peratus pelajar Melayu seolah-olah berada dalam keadaan keterpaksaan belajar dalam bahasa Inggeris.

Yang menyedihkan ialah pelajar-pelajar luar bandar yang menjadi mangsa diikuti pula dengan kemampuan para guru yang saya difahamkan hanya sekitar 32 orang yang benar-benar mencapai tahap 1 di peringkat rendah.

Tapi kita juga berada di persimpangan ketika mana masing-masing mula mempersoalkan tentang "employability" para graduan untuk berada dalam pasaran kerja. Ini ditambah lagi dengan dunia yang dilingkungi oleh globalisasi.

Malah yang turut dipersoalkan ialah pelajar-pelajar kita yang dijadikan bahan "eksperimen". Bagaimana pula dengan soal memartabatkan Bahasa Malaysia.

Sememangnya bagi semua yang mahukan soal jati-diri bangsa diperkasa maka pelajar perlu ada bahasa yang menjadi identiti warga. Namun kita perlu ingat bahawa sejauhmanakah setiap daripada kita bersedia tanpa mengira kaum untuk memartabatkan bahasa Malaysia.

Apakah isu penghapusan PPSMI bermakna semua kaum bersetuju bahawa di peringkat sekolah rendah semua pihak akan mengajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Jawapannya tidak!

Hanya sekolah kebangsaan sahaja akan kembali, sebaliknya sekolah Cina dan Tamil akan mengajar dalam bahasa Ibunda masing-masing. Hujah bagi sekolah Cina ialah pengajaran di peringkat awal khususnya di peringkat sekolah rendah dalam bahasa ibunda adalah penting dalam membentuk jati-diri dan identiti mereka.

Ini ditambah lagi dengan pandangan sekalangan pakar-pakar bahawa pembelajaran akan lebih mudah dengan menggunakan bahasa ibunda.

Apapun akan ada pihak yang menyalahkan Dr Mahathir kerana memperkenalkan PPSMI ini. Namun tidak ada sesiapa yang dapat menafikan keprihatinan beliau untuk melihat anak bangsa dapat bersaing di pentas global, dan tidak disisihkan dari menikmati peluang pekerjaan akibat ketidakmampuan dalam bahasa Inggeris.

Pembangkang pula akan menganggap bahawa sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk memberhentikan PPSMI maka ia dianggap sebagai suatu kejayaan mereka selepas suatu demonstrasi besar tempohari.

Yang membimbangkan saya ialah anak-anak kita akan terus menjadi eksperimen dengan ditambah lagi mata-pelajaran baru dan tambahan masa yang semakin menyulitkan mereka untuk membesar secara tabi'i sebagai insan.

Apakah semua ini membayangkan bahawa kita sedang berada di persimpangan antara menguasai bahasa Inggeris dan memartabatkan bahasa Malaysia sebagai cerminan jiwa bangsa? Kebimbangan kita ialah apabila pendidikan terlalu dipolitikkan bagi menagih simpati pengundi.

Justeru itu pengumuman YAB Perdana Menteri Dato" Sri Najib Tun Razak, untuk benar-benar memperhalusi sebarang cadangan dalam pelaksanaan PPSMI ini adalah suatu yang dialu-alukan. Biarlah rakyat menentukan di samping dibuktikan dengan fakta-fakta yang dikumpul.

AMARAH TOK GURU

Saya dapat memahami perasaan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bila menyatakan UMNO sama dengan komunis, ajaran Ayah Pin dan sosialis.

Ini kerana Tok Guru juga adalah insan politik yang tidak dapat lari dari amarah politik. Tambahan lagi sejak dalam politik sekian lama indoktrinasi politik benci kepada UMNO begitu menunjang.

Meskipun dalam al-Qur'an menganjurkan supaya berlemah lembut dengan sesama ummat, tetapi apa yang kita saksikan ialah sikap yang lebih lunak dan lembut ditunjukkan kepada orang yang dengan tegas menentang segala cita-cita Islami PAS.

Akibat kebencian yang teramat sangat kepada UMNO, ia sudah melupai segala uslub al-da'wah yang sering dikuliahkan.

Maka tidak hairanlah kita mendengar hujah dari mereka bahawa "UMNO itu zalim, DAP itu kafir. Maka lebih baik berkawan dengan orang kafir dari berkawan dengan orang zalim". Ada yang bertanya kepada saya kenapa sampai hati Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Saya jawab bahawa saya tidak terkejut dengan kenyataan Tok Guru kerana itulah alam fikirnya. Bagaimanapun saya yakin bahawa apa yang diluahkannya adalah terzahir daripada amarah yang memuncak.

Cuma kalau ada orang yang memikirkannya maksum (terlepas dari sebarang dosa), barang diingat bahawa dalam tradisi Sunni beliau juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa.

Mungkin selepas menyedari kesilapannya, Tok Guru kemudiannya berkata bahawa ia hanya kiasan sahaja. Bagaimanapun saya kurang arif pula melihat "kelaku" nya yang sejak akhir-akhir ini membimbangkan saya.

Kemarahannya terhadap Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa seperti yang disiarkan dalam TV benar-benar meluap dan bukan main-main. Sehinggakan ayat-ayat yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang menganggap dirinya ulama, terkeluar juga.

Saya juga kurang mengerti apakah disebabkan oleh kegagalan Husam Musa menang sebagai Timbalan Presiden menyebabkannya bertindak sehingga ke tahap itu. Apapun hujah beliau, menuduh UMNO atau mengkiaskan UMNO seperti komunis, Ayah Pin dan sosialis adalah perbuatan golongan pelampau atau secara kiasannya juga menggambarkan keangkuhan ilmu.

Saya hairan bagaimana tuduhan berat kepada kiasan sossialisnya UMNO boleh dihamburkan, tetapi dalam masa yang sama memeluk DAP seerat-eratnya yang juga berfahaman sosialis.

Thursday, 25 June 2009

LAWATAN KE LENGGONG DAN GERIK

Saya dan rakan-rakan pimpinan sekarang bergerak ke daerah-daerah bagi memulakan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan negeri. Ini kerana dalam beberapa bulan kita berhadapan dengan kekangan yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

Langkah awal ialah dengan mengadakan program bertemu rakyat dan memberi ruang kepada rakyat untuk bertanya masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Saya amat menghargai masalah yang dikemukakan oleh mereka--dari masalah tanah hinggalah ke masalah perumahan dan kehidupan harian.

Setiap daerah mempunyai masalah tersendiri. Malah yang menarik ada daerah yang mempunyai masalah yang tidak dihadapi oleh daerah lain seperti masalah gajah dan pembuangan kera-kera ke kawasan mereka seperti yang dihadapi oleh daerah Gerik dan Pengkalan Hulu.

Mendengar permasalahan yang wujud itu saya yakin sekiranya semua pihak pantas menyelesaikan masalah rakyat maka tidak wujud perkara-perkara tertunggak yang berlanjutan sekian lama.

Kita perlu punya rasa simpati dan empati (empathy) dalam menangani masalah rakyat. Namun kita maklum ada perkara yang perlu diatasi segera dan ada pula yang memerlukan waktu.

Namun jangan sampai perkara yang memerlukan waktu dijadikan alasan untuk terus melupai tanggungjawab menyelesaikan masalah. Itulah mesej yang saya sampaikan kepada kakitangan kerajaan.

Untuk itu saya berusaha meyakinkan mereka bahawa tempoh dua minggu perlu dijadikan KPI tindak-balas kepada rakyat. Beritahu rakyat bahawa tindakan sedang diambil terhadap sebarang permasalahan.

Kita sedia maklum bahawa masalah rakyat adalah pelbagai. Dalam waktu yang sama ada kelompok yang terus meracuni pemikiran rakyat seolah-olah tidak ada apa yang istimewa dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Orang ini tidak kira tempat memaki hamun BN kononnya sepanjang lebih 50 tahun memerintah BN tidak melakukan apa-apa untuk rakyat. Mereka sanggup berbohong dalam ceramah-ceramah termasuk menuduh saya kononnya menarik balik pemberian tanah kepada Pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu.

Mereka menggambarkan bahawa tempoh pemerintahan singkat mereka telah membawa suatu keajaiban kepada sekelian rakyat jelata. Permohonan tanah kononnya begitu pantas diproses. Saya bertanya kepada Pegawai-pegawai Daerah apakah mekanisme yang "hebat" itu, sekurang-kurangnya saya dapat meniru kaedah tersebut.

Benarkah semua daerah mengadakan mesyuarat tanah sebulan sekali seperti yang diwar-warkan? Kesemua Pegawai Daerah menyatakan tidak wujud perkara-perkara yang didakwa.

Namun saya sedar pejabat daerah dan tanah adalah menjadi perhatian rakyat dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih pantas.Saya kira dengan kaedah dan kesedaran yang baik kita akan dapat meningkatkan sistem penyampaian yang lebih sempurna kepada rakyat.

Saturday, 20 June 2009

BERSAMA TUN DR MAHATHIR

Kekuatan Tun Mahathir ialah nilai keintelektualannya yang tidak jemu-jemu menyentuh tentang Melayu.

Pandangannya tentang nasib dan masa depan Melayu tetap konsisten. Adakalanya Tun dikritik kerana menempelak sikap Melayu yang selesa dan mudah lupa. Adakalanya ia diangkat sebagai wira Melayu atas keberaniannya.

Pada 20hb June, Gabungan Melayu Perak telah menjemput Tun untuk merasmikan Persidangan mereka. Melihat wajah Tun dan kecergasannya saya terpanggil untuk membandingkannya dengan Lee Kuan Yew.

Jelas Tun masih gagah. Kebetulan pula LKY baru sahaja melawat Perak. Seperti biasa Tun tidak pernah menyembunyikan sikapnya terhadap LKY yang dianggap sebagai Little Emperor sehingga ada pemimpin-pemimpin yang katanya "terbongkok-bongkok" pergi mengadap LKY dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Kita memahami hubungan kedua-dua pemimpin ini yang telah menempa sejarah kepimpinan dunia.

Apa yang menarik dari ucapannya ialah keadaan Melayu hari ini yang semakin lemah dan menjadikan mereka cemas. Sikap cemas dan bimbang dengan keadaan adalah petanda positif kerana ia akan membawa kepada perubahan.

Tetapi katanya Melayu tidak boleh ambil mudah. Demografi dan geopolitik Malaysia sudah berubah. Melayu tidak boleh selamanya bergantung sesama sendiri untuk menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Dulu jumlah pengundi Melayu sebanyak 80 peratus. Tetapi selepas pemberian kerakyatan 1 juta kepada bukan Melayu di zaman Tunku, katanya, keadaan sudah berubah. Keadaan menjadi lebih sukar apabila Melayu terus berpecah.

Hari ini jumlah majoriti Melayu bukan lagi menentukan kuasa mereka. Ini kerana kuasa politik Melayu yang sudah terhakis akibat perpecahan ditambah lagi dengan kehilangan kuasa ekonomi.

Fenomena kuasa ditentukan oleh ekonomi berlaku di mana-mana sahaja. Amerika sebagai contoh, kuasa politik seorang Presiden ditentukan oleh golongan Yahudi yang hanya mempunyai seramai 10 juta orang dari keseluruhan penduduk Amerika yang melebihi 300 juta.

Sekarang ini golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap dasar DEB yang melahirkan mereka. Mereka sendiri tidak lagi menganggap Dasar itu adalah dasar yang baik. Di pihak yang lain pula, mereka mengambil mudah segalanya dengan meyakini bahawa ini adalah negaranya, maka ia lebih gembira untuk menjadi Mat Rempit dan sebagainya.

Akibatnya juga ramai yang terjerumus dalam penagihan dadah, kes-kes rogol dan buang anak yang melibatkan Melayu. Apakah wajah baru Melayu yang dihidangkan untuk tatapan masa depan bangsa.

Generasi muda adalah harapan kita, tetapi lihatlah keputusan saluran-saluran peti undi yang mewakili mereka sudah tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional. Mereka lebih percaya kepada hidangan propaganda pembangkang melalui media baru yang menyajikan segala bentuk tuduhan, fitnah, cacian, sehinggakan semua itu dianggap suatu kebenaran.

Wacana baru dengan generasi muda perlu dimulai dengan menyingkap tabir kesinisan dan kebencian mereka terhadap UMNO dan pemimpinnya. Saya yakin generasi muda akan kembali bersama UMNO dan BN apabila permainan politik yang disajikan kini khususnya oleh pembangkang semakin dilihat sebagai suatu helah dan tipu daya.

Friday, 19 June 2009

BERTEMU RAKYAT BAGAN SERAI

Pada hari khamis yang lalu saya berpeluang melawat kawasan Bagan Serai. Daerah Krian meninggalkan nostalgia kepada saya khususnya sewaktu zaman persekolahan saya.

Ia terkenal sebagai antara jelapang padi negeri Perak yang kebanyakkannya dihuni oleh suku Banjar.

Saya berkesempatan membawa motosikal bersama isteri meninjau Parit Hj Gabis dan sempat melawat beberapa rumah rakyat yang miskin. Saya terharu melihat mahasiswa dan siswi UiTM yang melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bersama berada di lapangan untuk menghayati kehidupan rakyat di luar-luar bandar.

Ia mengingatkan zaman mahasiswa saya yang pernah melalui detik ini dan berada di pendalaman kampung di Semenanjung dan Sarawak untuk bersama membela nasib rakyat.

Saya dan rakan-rakan mengambil pendekatan perjuangan mahasiswa atas nama gerakan sosial yang terfokus. Kami tidak dihimbau oleh retorik-retorik politik semata meskipun ada waktunya kami kritikal dengan dasar-dasar pemerintah.

Namun tidak bermakna kami anti dengan pemerintah. Agenda yang kami bawa adalah mahasiswa sebagai agen perobah dan pembangun masyarakat ke arah kebaikan.

Melihat keadaan Parit Gabis saya merasakan bahawa perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat adalah suatu yang dinamik. Keadaan masa yang berubah memerlukan pengupayaan semula kehidupan mereka.

Sebagai contoh, mereka sudah punyai rumah, namun keadaan rumah yang sudah lama dibina tentunya perlu dibaiki. Bagi yang mampu tentunya sudah dibaiki tetapi bagi yang tidak mampu perlukan pembelaan.

Apa yang kita saksikan semakin menginsafkan untuk meneruskan tradisi membela rakyat. Saya harap kehidupan mereka tidak terlalu dipolitikkan seperti yang saya saksikan sewaktu berada di sana.

Sudah menjadi tabiat mereka apabila ada pemimpin BN hendak melawat kawasan tertentu maka penuhlah dengan bendera mereka dipasang di merata tempat. Tetapi saya tidak ambil peduli dengan apa-apa bentuk provokasi mereka.

Yang penting adalah usaha-usaha untuk membantu rakyat perlu diteruskan tanpa terlalu dikongkong oleh titik bengit politik yang tiada kesudahan.Saya amat gembira kerana berkesempatan bertemu dengan ribuan rakyat jelata.

Malah sempat bersolat zohor dengan Adun PAS Selinsing YB Haji Hussin Din dan penyokong-penyokongnya di Masjid Daerah di Bagan Serai.

Para jemaah yang melihat kemesraan saya dan YB Haji Hussin, menyatakan alangkah indahnya bila ummat Islam dapat bersatu.

Wednesday, 17 June 2009

TINGKAH LAKU TIGA "N"

Saya tidak terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Nizar, Ngeh dan Nga (3-N)dalam sidang Dewan Rakyat pada 15hb June 2009.

Ada yang bertanya akan komen saya tentang sikap yang ditunjukkan oleh Nizar. Saya katakan bahawa ianya tidak menghairankan kerana perkara yang sama pernah dilakukannya pada 7hb Mei lalu dalam DUN Perak.

Malah saya katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Nizar di Dewan Rakyat hanyalah sekelumit sahaja berbanding dengan apa yang dilakukannya di DUN Perak.

Bayangkanlah kami ahli-ahli DUN dari BN terpaksa berada dalam zon perang selama lebih lima jam diserang oleh mereka sehingga tidak lagi menghormati kawasan dan tempat duduk yang disediakan.

Saya juga amat sedih dengan nasib rakyat di Bukit Gantang yang memberi kemenangan kepada Nizar dalam pilihanraya kecil baru-baru ini.

Bayangkanlah bila sebaik sahaja mengangkat sumpah terus tidak pedulikan tugas sebagai ahli parlimen tetapi bertindak atas kepentingan diri dan kuasa.

Saya percaya rakyat Bukit Gantang amat getek dengan perilaku sebegini.

Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang menganggap perbuatan itu hanya mewakili Nizar dan DAP sahaja. Tidak semua mereka yang bersetuju dengan tingkah sebegitu.

Saya anggap peristiwa itu jelas menunjukkan kejengkelan peribadi dan perbuatan yang sama sekali jauh dari amalan tatasusila.

Sunday, 14 June 2009

A SHORT NOTE : LEE KUAN YEW'S VISIT

It was quite a meaningful experience when a leader of city-state Singapore visited us on June 12.

Lee Kuan Yew is well known to many of us, especially for his contribution in building a modern Singapore, including his style of leadership which has been the subject of varied interpretation to different people.

The relationship with Malaysia is surely the most interesting part. I'm certain LKY would never brush aside the significance of the Malaysia-Singapore ties.

His recent visit clearly indicated his nostalgic reminiscing of what was, besides his interest of wanting to learn more about the current political landscape in post 2008. In one of the conversations, he mentioned about the need to strengthen the relationship between the younger generations of both countries.

During his time, he said, relationship was based more on social rather than diplomatic relations. This is because Malaysia and Singapore have a lot in common, in addition to sharing social and historical affinity.

Saturday, 6 June 2009

TIME TO WORK

I am told that next week Nizar Jamaluddin is going to file a stay in the Federal Court to continue with Pakatan's version of who is the legitimate MB.

I was also imformed that Pakatan has every intention of continuing and bringing their political agenda to the next level.

A new series of ceramah will be launched. The so-called "1black Perak" t-shirt will be adorned.

Despite all the hype, I assure the rakyat of Perak that my executive councillors and I will continue with our usual business of the day – helping to maintain stability and bringing about development for the people.

For example yesterday, I visited Hospital Tuanku Bainun to observe the current level of dengue cases. After that I met with hospital administrators and discussed the hospital's requirement for the cardiology, paediatric and maternity departments.

All these are part of the government-of-the-day's efforts to improve public delivery services for the rakyat. I'm happy to note the hospital team of doctors and nurses are very dedicated.

A day earlier I was in RPS Dala, Gerik accompanying His Royal Highness the Sultan deep into the jungle to launch the solar power hybrid for the Orang Asli.

It was a fascinating experience to be with the Orang Asli who have been living there all their lives and to witness the government's efforts to provide infrastructure to uplift their well-being. I must say more should be done to increase their economic and education conditions.

I'm also working with the increasing number of investors who have started to flock back to Perak to enquire about investment opportunities.

Tonight the meeting with Bahrain's group and Perak Chinese Chamber of Commerce will be held.

This school holidays also mean weddings for new couples. I have to attend as many as possible. I'm honoured to be invited but I must apologise that it is not possible for me to fulfill all in one day.

I have attended least 20 houses over the weekend. I'm happy because people are still friendly and they are equally honoured with my presence.

Judging from what I have witnessed, people want their lives to continue without disruption. They are fed-up with the unending attempts to change the political landscape of the state. They want a new beginning and do not want their daily routines to be manipulated with delusions of change and political upheaval.

I'm certain that people are beginning to judge that the call for destruction and to wipe-out any party is just not BN's way.

We are not the doomsday slayers who are utterly devoid of rationality. In essence, people will realise that the delusionist will always work to make the culprit the victim, and the victim the culprit.

Salam Perjuangan !

Monday, 1 June 2009

MENYEMAI KEBENCIAN

Perkara yang paling saya tidak gemar ialah bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.

Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat).

Kelmarin berlaku angin puting beliung yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, iaitu kawasan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Sebagai Menteri Besar saya tidak perlu mendiskriminasikan kawasan pembangkang dan kawasan kerajaan bila berlaku hal-hal begini. Lebih 100 buah rumah yang terlibat samada kehilangan bumbung atau ditimpa oleh pokok kelapa dan sebagainya.

Kawasan DUN Pasir Panjang berada dalam Parlimen Lumut, di mana saya juga adalah Ketua UMNO Bahagian Lumut. DUN Pangkor iaitu kawasan saya juga berada dalam Parlimen Lumut.

Saya sempat meninjau kejadian angin kuat yang memukul kawasan pantai DUN Pasir Panjang sehingga membawa ke kawasan Rungkup.

Alhamdulillah tidak berlaku sebarang perkara lebih buruk seperti kehilangan nyawa. Apa yang agak menarik dalam kebanyakkan rumah yang saya lawati itu, ada sebuah rumah yang menjadi perhatian saya.

Saya melawat rumah keluarga nelayan yang ditimpa pokok kelapa. Mengikut maklumat yang saya terima keluarga nelayan ini membina rumah di atas tanah yang bertuan yang juga jirannya.

Bila sampai saya, Dato' Seri Kong Cho Ha (Ahli Parlimen Lumut dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), pegawai daerah dan YDP Majlis Perbandaran Manjung, meletakkan kereta di kawasan jalan ke rumah mangsa.

Kebetulan hanya ada dua buah rumah sahaja di situ, satu rumah tuan tanah dan satu lagi rumah mangsa. Apa yang mengejutkan pemandu saya, Tuan DO, Menteri, dan YDP ialah bila tiba-tiba sahaja tuan rumah (yang berusia awal 40an) meluru ke arah kereta dan mengarahkan supaya keluar dan melarang kereta kami diletakkan disitu.

Katanya dia juga bayar cukai dan dia punya hak untuk benarkan siapa masuk. Masing-masing tercengang lihat gelagatnya sehingga ketua kampung hilang sabar.

Bila ditanya rupanya dia tidak suka Menteri Besar datang melawat mangsa kerana beliau menyokong parti lain.

Cuma apa yang saya katakan biarlah dia dengan sikap yang bengis itu sehingga sudah hilang rasa kemanusiaan untuk sama-sama membantu orang dalam kesusahan. Saya tidak terkejut melihat watak-watak seperti orang itu.

Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu.

Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian.

Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali.

Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci.

Salam Perjuangan