Thursday 25 June 2009

LAWATAN KE LENGGONG DAN GERIK

Saya dan rakan-rakan pimpinan sekarang bergerak ke daerah-daerah bagi memulakan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan negeri. Ini kerana dalam beberapa bulan kita berhadapan dengan kekangan yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

Langkah awal ialah dengan mengadakan program bertemu rakyat dan memberi ruang kepada rakyat untuk bertanya masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Saya amat menghargai masalah yang dikemukakan oleh mereka--dari masalah tanah hinggalah ke masalah perumahan dan kehidupan harian.

Setiap daerah mempunyai masalah tersendiri. Malah yang menarik ada daerah yang mempunyai masalah yang tidak dihadapi oleh daerah lain seperti masalah gajah dan pembuangan kera-kera ke kawasan mereka seperti yang dihadapi oleh daerah Gerik dan Pengkalan Hulu.

Mendengar permasalahan yang wujud itu saya yakin sekiranya semua pihak pantas menyelesaikan masalah rakyat maka tidak wujud perkara-perkara tertunggak yang berlanjutan sekian lama.

Kita perlu punya rasa simpati dan empati (empathy) dalam menangani masalah rakyat. Namun kita maklum ada perkara yang perlu diatasi segera dan ada pula yang memerlukan waktu.

Namun jangan sampai perkara yang memerlukan waktu dijadikan alasan untuk terus melupai tanggungjawab menyelesaikan masalah. Itulah mesej yang saya sampaikan kepada kakitangan kerajaan.

Untuk itu saya berusaha meyakinkan mereka bahawa tempoh dua minggu perlu dijadikan KPI tindak-balas kepada rakyat. Beritahu rakyat bahawa tindakan sedang diambil terhadap sebarang permasalahan.

Kita sedia maklum bahawa masalah rakyat adalah pelbagai. Dalam waktu yang sama ada kelompok yang terus meracuni pemikiran rakyat seolah-olah tidak ada apa yang istimewa dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Orang ini tidak kira tempat memaki hamun BN kononnya sepanjang lebih 50 tahun memerintah BN tidak melakukan apa-apa untuk rakyat. Mereka sanggup berbohong dalam ceramah-ceramah termasuk menuduh saya kononnya menarik balik pemberian tanah kepada Pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu.

Mereka menggambarkan bahawa tempoh pemerintahan singkat mereka telah membawa suatu keajaiban kepada sekelian rakyat jelata. Permohonan tanah kononnya begitu pantas diproses. Saya bertanya kepada Pegawai-pegawai Daerah apakah mekanisme yang "hebat" itu, sekurang-kurangnya saya dapat meniru kaedah tersebut.

Benarkah semua daerah mengadakan mesyuarat tanah sebulan sekali seperti yang diwar-warkan? Kesemua Pegawai Daerah menyatakan tidak wujud perkara-perkara yang didakwa.

Namun saya sedar pejabat daerah dan tanah adalah menjadi perhatian rakyat dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih pantas.Saya kira dengan kaedah dan kesedaran yang baik kita akan dapat meningkatkan sistem penyampaian yang lebih sempurna kepada rakyat.