Saturday, 20 June 2009

BERSAMA TUN DR MAHATHIR

Kekuatan Tun Mahathir ialah nilai keintelektualannya yang tidak jemu-jemu menyentuh tentang Melayu.

Pandangannya tentang nasib dan masa depan Melayu tetap konsisten. Adakalanya Tun dikritik kerana menempelak sikap Melayu yang selesa dan mudah lupa. Adakalanya ia diangkat sebagai wira Melayu atas keberaniannya.

Pada 20hb June, Gabungan Melayu Perak telah menjemput Tun untuk merasmikan Persidangan mereka. Melihat wajah Tun dan kecergasannya saya terpanggil untuk membandingkannya dengan Lee Kuan Yew.

Jelas Tun masih gagah. Kebetulan pula LKY baru sahaja melawat Perak. Seperti biasa Tun tidak pernah menyembunyikan sikapnya terhadap LKY yang dianggap sebagai Little Emperor sehingga ada pemimpin-pemimpin yang katanya "terbongkok-bongkok" pergi mengadap LKY dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Kita memahami hubungan kedua-dua pemimpin ini yang telah menempa sejarah kepimpinan dunia.

Apa yang menarik dari ucapannya ialah keadaan Melayu hari ini yang semakin lemah dan menjadikan mereka cemas. Sikap cemas dan bimbang dengan keadaan adalah petanda positif kerana ia akan membawa kepada perubahan.

Tetapi katanya Melayu tidak boleh ambil mudah. Demografi dan geopolitik Malaysia sudah berubah. Melayu tidak boleh selamanya bergantung sesama sendiri untuk menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Dulu jumlah pengundi Melayu sebanyak 80 peratus. Tetapi selepas pemberian kerakyatan 1 juta kepada bukan Melayu di zaman Tunku, katanya, keadaan sudah berubah. Keadaan menjadi lebih sukar apabila Melayu terus berpecah.

Hari ini jumlah majoriti Melayu bukan lagi menentukan kuasa mereka. Ini kerana kuasa politik Melayu yang sudah terhakis akibat perpecahan ditambah lagi dengan kehilangan kuasa ekonomi.

Fenomena kuasa ditentukan oleh ekonomi berlaku di mana-mana sahaja. Amerika sebagai contoh, kuasa politik seorang Presiden ditentukan oleh golongan Yahudi yang hanya mempunyai seramai 10 juta orang dari keseluruhan penduduk Amerika yang melebihi 300 juta.

Sekarang ini golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap dasar DEB yang melahirkan mereka. Mereka sendiri tidak lagi menganggap Dasar itu adalah dasar yang baik. Di pihak yang lain pula, mereka mengambil mudah segalanya dengan meyakini bahawa ini adalah negaranya, maka ia lebih gembira untuk menjadi Mat Rempit dan sebagainya.

Akibatnya juga ramai yang terjerumus dalam penagihan dadah, kes-kes rogol dan buang anak yang melibatkan Melayu. Apakah wajah baru Melayu yang dihidangkan untuk tatapan masa depan bangsa.

Generasi muda adalah harapan kita, tetapi lihatlah keputusan saluran-saluran peti undi yang mewakili mereka sudah tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional. Mereka lebih percaya kepada hidangan propaganda pembangkang melalui media baru yang menyajikan segala bentuk tuduhan, fitnah, cacian, sehinggakan semua itu dianggap suatu kebenaran.

Wacana baru dengan generasi muda perlu dimulai dengan menyingkap tabir kesinisan dan kebencian mereka terhadap UMNO dan pemimpinnya. Saya yakin generasi muda akan kembali bersama UMNO dan BN apabila permainan politik yang disajikan kini khususnya oleh pembangkang semakin dilihat sebagai suatu helah dan tipu daya.