Monday 29 June 2009

BENCI TANPA RINDU

Saya menghargai setiap pandangan yang dilontar untuk mengukuhkan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam siri lawatan saya ke daerah-dearah saya dapati pelbagai aduan dikemukakan. Mereka bertanya dengan penuh beradab sekali.

Perkara yang menjadi cabaran sekarang ialah bagaimana pegawai-pegawai pelaksana dapat melangsaikan semua aduan dan keluhan rakyat. Saya sebutkan bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu ada ADUN Pembangkang yang mahukan saya mendengar masalah di kawasan mereka. Cuma ada yang segan. Ada yang telefon saya, tetapi setelah ditentukan tarikh untuk datang, dia tidak datang.

Saya tidak tahu mengapa.

Mungkin dia berfikir semula samada perlu datang atau tidak. Kalau datang bermakna dia terpaksa menjilat ludahnya. Kalau tak datang rakyat di kawasannya sedang memaki-hamun akan sikapnya yang tidak melakukan apa-apa perkhidmatan kepada mereka.

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham khabarnya mengatakan bahawa saya melenting apabila dikritik oleh Pakatan Pembangkang. Saya tak tahu apa yang dimaksudkannya. Dia lebih tahu bagaimana sikap saya selama ini yang tidak mudah mencebik atau memaki hamun atau melenting tak tentu pasal.

Yang selalu melenting ialah dia dan konco-konconya. Mereka sentiasa rasa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah dan dosa belaka.

Saya tidak pernah mendiskriminasikan setiap permasalahan yang dibawa olehnya sewaktu saya menjadi ahli exco kerajaan negeri zaman Barisan Nasional dulu. Waktu itu dia memuji saya melangit kerana sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat.Apapun yang mereka kata, sekelian kita perlu bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.

Tanggungjawab sekelian kita ialah kembali mendambakan diri kepada rakyat, dan bersama dengan rakyat, dan tidak menari mengikut rentak mereka.