Sunday, 6 December 2009

PRESTASI AHLI MAJLIS

Ahli -ahli Majlis adalah merupakan wakil rakyat bagi kawasan kerajaan tempatan. Sebelum ini perlantikan mereka dibuat melalui pilihanraya Majlis Tempatan. Tetapi sekarang pemilihan dilakukan melalui cadangan daripada parti-parti yang memerintah. Sistem ini berjalan dengan lancar dan menjadi sebahagian daripada struktur majlis kerajaan tempatan.


Ahli-ahli Majlis yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan setiap majlis daerah dapat berfungsi dengan baik. Tanggungjawab mereka samalah seperti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu perlu sentiasa berada di lapangan melihat segala permasalahan yang berlaku.

Sekiranya mereka yang dilantik gagal nenainkan peranan maka rakyat akan melihat sebagai kegagalan kerajaan yang memerintah.

Mereka perlu menjadi lebih inklusif dan efektif bagi melunaskan tanggungjawab kepada rakyat. Dalam suasana yang lebih terbuka hari ini tugas mereka sentiasa dinilai oleh rakyat.

Perlantikan mereka bukan lagi semata-mata atas rapatnya hubungan dengan ketua-ketua parti atau atas nama jawatan-jawatan yang mereka pegang dalam parti. Meskipun ia menjadi kriteria umum tetapi sumbangan mereka sebagai ahli majlis yang benar-benar efektif akan menjadi taruhan samada mereka mewakili imej parti yang yang baik atau sebaliknya.

Lantaran itulah saya menyebut bahawa ahli-ahli majlis mesti mempunyai KPI mereka. Asas KPI ini ialah samada mereka membuat kerja dengan baik atau tidak. Sekiranya mereka tidak melaksanakan tugas dengan baik maka adalah wajar untuk mereka mengundurkan diri dengan sukarela.

Dalam Majlis Tempatan kini sudah mempunyai Agenda 21. Ia adalah bagi memberi ruang kepada NGO dan suara-suara masyarakat sivil untuk turut berpartisipasi dalam Majlis-majlis tempatan. Saya telah mengarahkan supaya Agenda 21 ini diaktifkan sebagai suatu lagi bentuk dan struktur dalam Majlis Kerajaan Tempatan.

Saya harap idea ini akan diterjemahkan bagi membolehkan rakyat dapat lebih aktif dan berpartisipatif dalam memastikan kerajaan tempatan yang baik dan efisyen.

Sunday, 22 November 2009

MASALAH PAFA YANG MEMANJANG

Nampaknya DS Nizar masih tidak puas dengan keghairahannya untuk mencapai kemuncak perlawanan politik negeri Perak. Kali ini diheret pula masalah PAFA sambil menuduh saya tidak bertindak seperti kerajaan Kelantan yang kononnya membantu KAFA walaupun diketuai oleh Tan Sri Anuar Musa dari UMNO.

Lalu sayapun menelefon Tan Sri Anuar samada benar atau tidak kerajaan Kelantan membantu Persatuan Bolasepak Kelantan?

Anuar menjawab bahawa sepanjang beliau menjadi Presiden KAFA tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan Kelantan. Cuma baru-baru ini apabila Kelantan sudah hampir memenangi Piala Malaysia
Nizar menuduh saya seperti tidak gentleman dan berjiwa besar untuk membantu PAFA meskipun beliau terus menjadi Presiden.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran bola Sepak Perak di sebalik tuduhan Nizar terhadap saya. Pertama kali kenyataan saya dikeluarkan dalam media khususnya akhbar Sinar Harian adalah berpunca daripada soalan wartawan sendiri yang bertanya secara umum tentang pentadbiran bolasepak negeri yang semakin lemah dan kedudukan Perak yang semakin ketinggalan. Saya sebutkan bahawa soal itu tidak sepatutnya ditujukan kepada saya kerana saya bimbang kalau saya jawab nanti dikatakan saya cuba mencampuri urusan pentadbiran yang diterajui Nizar.

Tetapi secara umumnya apabila kita rasa sudah tidak boleh memimpin elok diserahkan kepada mereka yang lebih mampu. Ini kerana pada pandangan saya bolasepak tidak harus dijadikan medan politik bagi mengembang pengaruh parti atau memuja individu.

Tekaan saya tepat sekali apabila jawaban saya itu dijadikan sebagai modal politik Nizar untuk mengkritik saya. Sejak itu saya hanya mendiamkan diri kerana takut nanti dianggap cuba menggugat singgah sana kekuasaan Nizar sebagai Presiden PAFA. 

Tetapi terjahan demi terjahan dibuat bagi meraih simpati buatnya dan menjadikan modal untuk mengkritik saya. Ini termasuklah dengan membuang mereka yang tidak sependapat dengan beliau seperti yang berlaku ke atas PengerusiKelab  Penyokong Bolasepak Perak Sdra Jamil. Manakala dalam masa yang pihak PAS pula melancarkan kempen mengutip derma kononnya untuk menyelamatkan bolasepak Perak.

Kemelut ini nampaknya masih berterusan. Saya tidak nampak bagaimana ia tidal dapat diselesaikan sekiranya Nizar menyayangi bolasepak negeri lebih daripada politik dan kepentingan diri. maka kerajaan Kelantan pun membuat kenyataan pemberian hadiah dan lain-lain kepada pemain-pemain yang dipencilkan selama ini. Ia adalah tindakan politik untuk mengambil hati rakyat kerana bolasepak adalah sukan kegemaran ramai.

Saturday, 14 November 2009

PENSTRUKTURAN SLCs (STATE LINK COMPANIES)


Setelah lebih lapan bulan saya memegang jawatan sebagai MB, saya merasakan perlunya dilakukan anjakan terhadap kedudukan syarikat dan agensi-agensi kerajaan negeri yang selama ini menjadi nadi kepada pembangunan dan pertumbuhan negeri.

Beberapa hari yang lalu saya mengadakan seminar kecil dengan semua ketua-ketua eksekutif dan pengurus-pengurus kanan syarikat-syarikat utama kerajaan negeri (SLCs).

Dalam pertemuan itu saya menekankan kepada mereka akan peri pentingnya melakukan anjakan dan perubahan. Tabi'i manusia sendiripun bergerak, berkembang dan membesar. Dalam erti kata yang lain ia memerlukan perubahan ke arah memberikan kebaikan.

Perubahan dan penstrukturan semula tidak boleh dianggap sebagai langkah terkebelakang atau cubaan untuk menghukum sesebuah organisasi. Ia tidak boleh dianggap sebagai tindakan mengeluarkan seseorang pegawai lantaran prestasi buruknya.

Ia perlu dilihat dalam kerangka yang poisitif. Memang menjadi kebiasaan orang tidak mahu kedudukannya berubah kerana sudah biasa dengannya. Tetapi bagi mereka yang memahami tentang keperluan untuk menjadi lebih baik dari hari semalam maka ia akan sentiasa tidak gentar untuk melakukan perubahan untuk kebaikan.

Syarikat-syarikat kerajaan negeri sudah lama usianya. Semuanya wujud atas nama tuntutan keperluan di waktu itu. Kemudian ianya terus berkembang juga atas keperluan masa.

Kini ekonomi negara sedang melalui fasa baru dengan inovasi dan kreativiti menjadi dua istilah yang penting. Maka syarikat-syarikat negeri juga perlu berada di pentas persaingan untuk menggarap peluang yang terbaik ini. 

Dalam pada itu kita juga perlu memahami akan lontaran pandangan daripada rakyat yang mahu melihat syarikat-syarikat kerajaan negeri menjadi lebih berkeupayaan, memiliki good governance, dan perancangan strategik yang baik. Lantaran itulah saya memikirkan sudah sampai masanya untuk melakukan perubahan ini.

Salam Perjuangan!

Saturday, 7 November 2009

SIDANG DUN DAN BAJET 2010 PERAK

Sudah agak lama saya tidak menghantar sebarang catatan.

Setelah habis sidang DUN Perak pada 28hb September 2009 saya teruskan dengan kerja-kerja pentadbiran menghadiri pelbagai mesyuarat di peringkat pusat dan negeri.

Alhamdulillah di sebalik usaha bersungguh-sungguh untuk menggagalkan sidang DUN saya dan rakan-rakan tidak terasuk oleh permainan mereka.

Rakan-rakan BN amat berdisiplin ketika berada dalam dewan. Ini menyebabkan kalangan pembangkang tenggelam punca dan akhirnya bertindak keluar Dewan selepas melepasi kelayakan kehadiran mereka.

Mereka menjadi serba salah kerana pada awalnya mereka mengatakan untuk tidak mahu hadir atas alasan kononnya tidak mengiktiraf Dato Ganesan yang telah mendapat perkenan perisytiharan memanggil sidang Dewan oleh Ke Bawah Dulu Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Tetapi akhirnya mereka terpaksa hadir juga kononnya atas alasan ADUN Tronoh Sivakumar yang memanggil sidang Dewan itu. Mereka sedia maklum sekiranya tidak hadir bermakna kedudukan mereka sebagai ahli Dewan juga akan tergugat, kalau-kalau tindakan diambil oleh Dato Ganesan.
Saya ucapkan terima kasih kepada Pembangkang ini meskipun mereka bersungguh-sungguh mengatakan tidak mahu hadir dan tidak iktiraf Ganesan, tetapi akhirnya akur juga kedudukan Ganesan dan tetap hadir.

Friday, 25 September 2009

BOIKOT?

Dalam Sinar Harian edaran Perak 24hb Sept 2009, Ngeh Khoo Ham Pengerusi DAP Perak menyuarakan bahawa PR akan memboikot Sidang Dewan yang dijangkakan akan dipanggil oleh Speaker Dewan Dato R. Ganesan sebelum tempoh enam bulan tamat.

Menurutnya perlantikan Ganesan adalah tidak sah dan tidak mengikut peraturan Dewan. Dan macam-macam lagi alasan yang diberikannya bagi memperlihatkan kehodohan Speaker Ganesan, manakala di pihaknya semua dianggap suci.

Ada pemberita yang bertanya kepada saya -- apa komen terhadap kenyataan beliau itu? Saya jawab dengan mudah "anda semua percaya?".

Semua orang tidak mungkin melupai apa yang dilakukan oleh mereka apabila Sidang haram di bawah pokok diadakan. Mereka dengan bongkak dan angkuh menidakkan kuasa perisytiharan Sultan untuk memanggil Sidang Dewan yang haram sambil melaung-laungkan bahawa sidang mereka itu sah.

Tetapi apabila Sidang Dewan yang diisytiharkan oleh Tuanku selepas permohonan mengadap oleh saya sebagai Menteri Besar dibuat, mereka tetap masuk juga.

Malah mereka masuk dalam Sidang Dewan yang bersejarah itu dengan tindakan ganas dan biadap, seolah-olah negeri Perak tiada undang-undang dan institusi Raja tidak dipedulikan sama-sekali.

Malah yang mendukacitakan lagi ialah satu lagi episod tindakan di bulan ramadan baru-baru ini dengan memanggil satu lagi sidang dewan haram oleh seseorang yang menggelarkan dirinya speaker dengan tidak menghormati sekali lagi institusi Raja dan kerajaan yang ada.

Malah mereka membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar kedudukan Ganesan sebagai Speaker. Keputusan nyata menolak kes mereka. Tetapi masih mereka tidak puas hati.

Sekarang mereka buat lagi cerita baru bagi menunjukkan kesucian mereka. Saya tidak akan terkejut sekiranya Ngeh atau konco-konconya akan memberi kenyataan baru menyatakan mereka tetap akan menghadiri Sidang Dewan yang akan diadakan nanti.

Ingatlah apa yang diluahkan oleh Nizar sebelum ini bahawa Sidang Dewan yang akan datang akan menjadi lebih teruk daripada Sidang Dewan 7hb Mei lalu. Amarannya tidak akan dilupai begitu sahaja.

Tetapi saya amat hairan dengan sikap Nizar pada hari ini yang bersetuju pula dengan arahan Ngeh untuk tidak menghadiri Sidang Dewan. Setelah diteliti lebih mendalam dengan segala perbuatan dan sikap Nizar selama ini khususnya dalam proses membuat keputusan dan hubungan mesra Ngeh-Nizar maka wajarlah kenyataan Nizar itu setelah mendengar apa yang diarahkan oleh Ngeh.

Sikap mereka sama sahaja iaitu tidak akan membiarkan perjalanan yang lancar untuk BN memerintah. Tetapi semakin kuat mereka bertindak mencemar negeri Perak, semakin kuat pula saya menyaksikan kesungguhan rakyat untuk menolak sebarang bentuk keganasan dan paranoid politik mereka.

Thursday, 24 September 2009

SELAMAT HARI LEBARAN

Saya mengucapkan selamat hari raya kepada sekelian ummat Islam.

Dalam merayakan eidul fitri ini semangat satu Malaysia diterjemahkan dengan tradisi rumah terbuka dan ucapan selamat hari raya dari semua bangsa rakyat Malaysia kepada rakan taulan mereka yang beragama Islam.

Alhamdulillah saya turut mengadakan sambutan hari raya ini. Kali ini di tiga lokasi dalam tiga hari perayaan. Hari pertama di kediaman MB. Hari kedua di kampung halaman saya Pulau Pangkor.

Manakala hari ketiga di Manjung. Alhamdulillah sambutan rakyat dari pelbagai bangsa amat memberansangkan sekali.

Saya pohon maaf sekiranya ada di antara tetamu yang tidak berkesempatan menjamah makanan disebabkan kesesakan.

Dalam pada itu terdapat juga cerita yang kurang enak sepanjang ramadan yang cuba meneruskan ketegangan politik. Namun saya menyeru supaya di bulan ramadan yang suci dan mulia dijadikan bulan untuk penyucian diri dan masa untuk merenung serta bermuhasabah diri.

Malangnya masih ada yang terus dengan agenda Sidang DUN di hotel Heritage. Ada pula dengan agenda konvoi bermotosikal Bubar DUN (dibatalkan di saat akhir). Tidak kurang juga dengan ceramah-ceramah atas nama Badr Kubra yang ditanam dengan permusuhan sesama ummat.

Dalam pada itu juga kain-kain rentang saya mengucapkan selamat ramadan turut dikoyak, direntap, dan dihilangkan. Paling terbaru ialah pada poster ucapan selamat menyambut hari raya disimbah cat.

Para pemberita ada bertanya saya tentang perkara ini. Saya kata tak apa lah dan biarlah rakyat menilai. Ada yang tidak suka dengan cara berlembut saya. Saya jawab untuk apa saya komen dengan penuh dendam dan geram kerana bayangkan sekiranya di bulan ramadan orang tua-tua kata "syaitan dan iblis diikat", jadi bila ada manusia yang bertindak demikian, maka tafsirlah sendiri jenis manusia seperti ini!

Oleh yang demikian saya percaya rakyat inginkan ketenteraman dan keamanan bagi menikmati kehidupan. Rakyat semakin muak dengan perilaku yang tak habis-habis cuba mencetuskan perbalahan, apatah lagi waktu bulan merayakan hari lebaran.

Inilah waktunya untuk kita hidup saling kerukunan. Sekiranya ada salah dan silap kita mohon maaf.

Saya juga tidak ketinggalan untuk memohon ampun dan maaf kepada sekelian rakyat jelata sekiranya ada kesilapan dan kesalahan. Marilah kita bermaaf-maafan

Saturday, 19 September 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA MB PERAK

YAB DS Dr Zambry akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka pada 1 Syawal di kediaman rasmi dari jam 2 pm hingga 5 pm. Semua dijemput hadir.

Wednesday, 2 September 2009

PERGINYA SEORANG TOKOH INTELEKTUAL

Pada malam 26hb Ogos sewaktu sedang berbuka puasa bersama di kediaman Perdana Menteri, saya menerima khabar melalui sms bahawa tokoh intelektual negara Prof Ismail Salleh telah meninggal dunia pada usia 61 tahun.

Beberapa tahun yang lalu setelah sekian lama tidak bertemu dengannya, saya melihat perubahan dirinya dan beliau menyatakan pada saya bahawa ia mulai menjalani rawatan dialisis. Namun semangat daya juangnya yang tinggi tidak langsung menunjukkan bahawa beliau menderita kesakitan.

Saya
amat terasa kehilangannya. Kepada keluarganya saya dapat merasai betapa mereka amat merindui dan menyayanginya.

Namun saya yakin tinta-tinta pemikirannya tetap segar dan akan semerbak. Beliau dianggap antara ahli ekonomi yang sangat terkenal dalam negara.

Perjuangannya untuk melihat ekonomi bangsa meningkat dan berdaya saing amat mengkagumkan. Meskipun beliau tidak pernah berada di pentas politik, namun suara keprihatinan politiknya amat dihormati oleh semua pihak.

Beliau adalah antara tokoh yang seringkali mempertahankan dasar DEB dan perlunya agihan yang saksama.

Sewaktu berada dalam Pemuda UMNO saya seringkali diutus oleh Ketua Pemuda UMNO waktu itu Hishammuddin Hussein untuk bertemu dengannya bagi membantu menyediakan buah fikiran khususnya dalam bidang ekonomi untuk ucapan dasar Ketua Pemuda Malaysia itu.

Saya masih ingat akan kekecewaannya melihat DEB tidak mencapai matlamat sepertimana yang disasarkan. Beliau banyak menasihatkan orang politik seperti saya supaya tidak melupai tuntutan perjuangan untuk membela nasib bangsa.

Kehilangan beliau amat dirasai oleh dunia akademia. Moga Allah merahmati ruhnya. Amin.

Friday, 28 August 2009

RAMADHAN

Saya ucapkan Ramadan Karim.

Agak lama jua saya tidak menulis. Ramadan kali ini dipenuhi dengan jadual yang ketat dalam melaksanakan tuntutan.

Saya mengharapkan ramadan kali ini akan dapat membentuk rasa kasih dan sayang sesama ummat. Meskipun wujud perbedaan dalam soal berpolitik tetapi rasa ukhuwwah sewajarnya melepasi rasa politik.

Lantaran itu usahlah kita keterlaluan melemparkan nista dan memisahkan kasih sayang sewaktu ramadan ini. Usahlah menggunakan tazkirah ramadan untuk menanamkan lagi permusuhan antara kita.

Saya amat merindui ummat Islam kita bersatu dalam satu kalimah Ilahi yang wahid. Janganlah dibiarkan soal bacaan politik yang sempit dan dangkal memisahkan kita semata-mata atas nama kerakusan kuasa sehingga ayat-ayat Allah dijual dengan harga yang murah.

Janganlah membiarkan diri ummat sendiri diadu-domba sehingga hilang segala kekuatan di sebalik jumlah yang banyak.

Sekiranya wujud perbezaan, carilah titik -titik persamaan. Janganlah menjatuhkan hukuman kepada sesama ummat lebih buruk daripada taraf golongan yang menyekutukan Allah atau mereka yang sememangnya dikategorikan sebagai kafir harbi.

Masa untuk ummat bersatu tetap wujud meskipun dihalang dari pelbagai ranjau. Ramadan adalah bulan yang suci untuk kita menyucikan diri.

Thursday, 27 August 2009

SYURGA DAN NERAKA

Saya kurang selesa dengan pertelagahan ummat Islam hari ini sehingga membawa kepada siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang masuk neraka.

Pertelingkahan ini meriwayatkan kembali golongan yang bertentangan sesama sendiri dalam sejarah ummat Islam sehingga menimbulkan siapakah yang mendapat tempat sebagai firqah najiyah (golongan yang berjaya dan mendapat tempat di sisi Allah).

Maka timbullah pelbagai fahaman dan golongan yang antaranya mengkafirkan sesama sendiri seperti golongan khawarij.

Saya kurang pasti apakah yang disaksikan oleh ummat Islam Malaysia ini adalah lanjutan dari apa yang berlaku selama ini?

Ummat Islam sudah tidak lagi ada sifat kasih sayang sesama sendiri, tidak ada lagi sifat rahmah, sifat tasamuh (berlapang dada) dan sifat kelembutan sesama sendiri.

Sindiran dan tuduhan bahawa Islam yang dibawa dan diperjuangkan oleh orang lain sebagai Islam plastik dan Islam yang tak boleh bawa ke syurga adalah kenyataan yang meletakkan kumpulannya saja yang betul.

Secara logiknya kalau sesiapa nak masuk ke syurga perlu masuk kumpulannya. Ini adalah suatu kenyataan luar biasa yang datangnya dari orang menganggap dirinya cukup sempurna dengan ilmu Islamnya. Akibatnya ummat Islam terus berkelahi sesama sendiri.

Dalam Ramadan yang mulia ini marilah kita meningkatkan amal dan jauhkan diri dari segala sifat mazmumah (kejahatan) yang boleh membawa kerosakan iman dan taqwa. Iman dan taqwa tidak terletak kepada parti, tetapi terletak kepada amalan soleh setiap manusia yang dijadikan oleh untuk mengabdikan diri kepada Nya.

Monday, 24 August 2009

PERMATANG PASIR OH PERMATANG PASIR

Entah apalah nasib parlimen Permatang Pauh yang sudah tiga kali dalam tempoh tak sampai 2 tahun menyaksikan pilihanraya kecil. Kecuali kes Permatang Pasir ini dengan kematian wakil rakyatnya, dua lagi iaitu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Pilihanraya kecil Penanti benar-benar merupakan pilihanraya sesuka hati kepala PKR Anwar Ibrahim untuk menukar apa saja mengikut kemahuannya.

Sepanjang berada di Permatang Pasir ini keadaannya sedikit suram dengan kedatangan Ramadan dan hujan.

Saturday, 8 August 2009

MENGEMAS PENTADBIRAN TANAH

Pagi semalam (7 Ogos 2009) saya bersama dengan kakitangan kerajaan yang terdiri daripada penolong pegawai tanah atau biasanya dipanggil SO tanah.

Pentadbiran tanah adalah merupakan suatu yang sangat penting kepada mana-mana kerjaan negeri. Ia menjadi nadi pendapatan negeri hasil dari kutipan cukai, premium, hasil mineral dan batuan dan sebagainya.

Sebab itu pendekatan yang terbaik untuk menambah hasil negeri sentiasa tertumpu kepada pejabat tanah dan galian. Sebagai contoh pendapatan kerajaan negeri dari pejabat PTG pada tahun lalu bertambah kepada RM385juta.

Ini hasil daripada perancangan yang dibuat sejak tahun 2007 sewaktu dalam pemerintahan BN lagi. Tetapi ada pihak yang membuat dakwaan kononnya semenjak 11 bulan mereka memerintah hasil negeri terus naik.

Tanyalah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri apakah dakwaan yang dibuat oleh mereka itu benar atau palsu?

Dalam lawatan-lawatan saya bertemu dengan rakyat, hampir 70 peratus dari masalah yang dikemukakan adalah berkaitan dengan masalah tanah seperti permohonan yang tidak diluluskan.

Ada juga permohonan-permohonan yang dibuat tetapi telah diluluskan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi hak milik. Akibatnya Barisan Nasional terpaksa berhadapan dengan kesan yang paling buruk dalam pilihanraya kerana rakyat melihat ini adalah kesalahan BN.

Sebab itu ada pihak cuba menjadikannya isu politik dan bertindak menjadi juara kepada rakyat. Tetapi akhirnya mereka sendiri menjadi mangsa kerana tidak mampu menyelesaikan segala janji mereka kepada rakyat.

Ada pula yang bertindak keterlaluan. Ini termasuklah tindakan seorang ahli parlimen pembangkang yang mahu menjadi juara dan membawa berpuluh-puluh orang ke pejabat tanah kononnya untuk memberi borang 5A kepada penduduk.

Pegawai daerah, penolong pegawai daerah tanah, kerani, dan anggota lain sendiri tidak mengetahui langsung tentang bagaimana tindakan seorang begitu berani mengeluarkannya semata-mata memenuhi selera pakatan pembangkang.

Ini suatu tindakan yang paling tidak beretika dan tidak bermoral dengan cuba menggalakan pentadbiran anarki berleluasa.

Ada pula yang cuba membangkitkan sentimen perkauman bahawa kononnya kerajaan BN pimpinan saya cuba menidakkan kaum-kaum tertentu daripada mendapatkan hak-hak pemilikan tanah.

Sekali lagi mereka bermain dengan sentimen ini agar mendapat dan menagih simpati rakyat untuk menyokong mereka. Malah mereka bertindak dengan membohongi rakyat kononnya saya telah memberi tanah seluas lebih 35 ribu hektar tanah kepada satu syarikat kroni saya.

Malah sebelum ini mereka turut menuduh saya menarik balik pemberian tanah seluas 40 ekar tanah kepada sebuah institusi pondok. Mereka ini merasa tidak bersalah dengan membohongi rakyat.

Kononnya merekalah pejuang dan pembela rakyat. Merekalah saja yang betul dalam segala tindakan.

Mereka juga cuba menjadi juara dengan mengumpulkan rakyat kononnya merekalah yang berjaya menyelesaikan masalah tanah rakyat. Contohnya ada satu kes di mana semua orang sudah tahu bahawa saya akan menyelesaikan masalah penduduk di satu kawasan di mana ada kalangan mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Oleh kerana mereka sanggup untuk terus duduk bersama walaupun dengan keluasan yang sedikit kecil antara satu sama lain, maka saya katakan bahawa kerajaan tidak ada masalah untuk ditempatkan di satu kawasan sahaja. Ianya sudah dapat dihidu oleh ahli parlimen pembangkang ini.

Seperti biasa kerjanya ialah dengan mengumpul orang berdemonstrasi sahaja. Bila saya selesaikan masalah itu dia pun mendabik dada sebagai seorang juara pembelaan rakyat.

Apapun saya sebutkan kepada para pegawai kerajaan supaya tidak tertekan dengan karenah yang ditunjukkan oleh pembangkang ini. Biarlah kita melaksanakan tugas dengan penuh amanah agar negeri Perak mempunyai hasil yang mencukupi, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan prinsip asas yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Rakyat mengimpikan sebuah pentadbiran yang jujur dan amanah serta tangkas dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Sunday, 2 August 2009

PERSIDANGAN RAJA-RAJA DI SARAWAK

Sepanjang minggu ini saya berada di Sarawak bagi menghadiri Persidangan Majlis Raja-raja. Persidangan kali ke 218 kali ini diadakan di Kuching, Sarawak.

Saya melihat Kuching pesat membangun. Lapangan terbang yang canggih hinggalah ke bangunan Dewan Undangan Negeri yang terindah.

Saya kagum melihat hasil sentuhan Hijaz Kasturi dan ilham Ketua Menterinya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan tersergam indahnya bangunan Dewan Undangan Negeri yang berharga RM300juta.

Saya pasti sesiapa ke Kuching tidak akan melepaskan peluang untuk melawat tempat ini.Meskipun begitu masih ada pihak yang terus kemaruk untuk meneruskan agenda menawan Sarawak pada pilihanraya negeri yang dijangkakan pada tahun 2011.

Mereka bermain dengan sentimen yang cuba meniupkan api kebencian dan kemarahan kaum tertentu terhadap kerajaan yang ada.

Ada di kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri datang sambil memancing kesempatan memberitahu kalangan rakyat Sarawak apa yang mereka perlu buat. Umpamanya ada yang mengsyorkan agar diwujudkan Tabung Khas untuk kaum tertentu untuk membantu mereka mengatasi masalah kemiskinan tegar di Sarawak.

Saya kurang pasti apakah di negeri yang di perintah olehnya sudah selesai masalah kemiskinan tegar dengan mewujudkan cara yang sama. Ada seorang lagi Ketua Kerajaan Negeri yang mendakwa akan memberi air percuma sekiranya mereka dapat memerintah Sarawak.

Selepas melihat perkembangan seperti ini saya yakin Ketua Menteri Sarawak yang terkenal dengan kepintaran politiknya mempunyai agenda-agenda penting buat sekelian rakyat. Seorang menteri pengiring memberitahu saya bahawa beliau tidak faham kenapa mereka mahu menggugat politik pembangunan di Sarawak.

Anak dari rumah panjang sepertinya kini menikmati peluang pendidikan dan peningkatan taraf hidup. Namun adakalanya hasil dari usaha yang dilakukan ini telah menimbulkan kesan ke arah kebebasan dan hak yang lebih.

Apapun Sarawak adalah antara negeri contoh terbaik bagi 1Malaysia.

Wednesday, 29 July 2009

TINDAKAN SIVAKUMAR

ISNIN lepas (27 Julai), Ngeh, Sivakumar dan juak-juaknya sekali lagi menunjukkan kejengkelan mereka.

Mereka mahu memasuki Pejabat SUK kononnya untuk mengadakan perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk speaker Dewan yang baru Dato R. Ganesan. Pada sebelah petangnya Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai) pula memasuki pejabat saya untuk menyerahkan saman untuk hadir bagi mengadapkan saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ini bukan pertama kali mereka lakukan pada saya. Sudah beberapa kali mereka lakukan. Siapa mereka ini? Tidak lain hanyalah golongan pengacau dan pengganggu yang mahu melihat negeri Perak tidak aman di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Malah mereka maklum bahawa suasana yang berlaku di negeri Perak kini semakin menjurus kepada keamanan dan pentadbiran yang berkesan. Saya ingin menyatakan kepada mereka bahawa kalau mereka ingat dengan melakukan perbuatan-perbuatan tidak senonoh seperti dapat menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan yang ada ini, mereka silap sama-sekali.

Saya tidak akan tunduk kepada desakan dan tindakan biadab yang tidak mengenal batas undang-undang dan peraturan.Sivakumar dan ahli-ahlinya tahu bahawa mereka hanyalah bekas speaker dan ahli-ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Saya tidak akan mudah terikut dengan rentak tarian canggong mereka. Saya yakin tindakan yang dilakukan ini juga bertujuan menutup kelemahan Pakatan yang semakin ketara, krisis dalaman sesama sendiri, isu-isu antara mereka yang semakin serius.

Saya juga yakin bahawa ini dilakukan bagi membuat persiapan untuk menghadapi sidang DUN yang akan datang iaitu sewaktu perbentangan belanjawan dibuat. Ia juga dibuat dengan hasrat rakyat tidak akan berada dalam suasana selesa dan rasional untuk menilai siapa sebenarnya bekerja untuk kemakmuran rakyat.

Malah mereka tahu bahawa populariti mereka semakin merosot di negeri Perak. Saya juga sedia maklum bahawa mereka mengharapkan pilihanraya semula akan diadakan pada bila-bila masa. Justeru digerakkan sekali lagi suasana tidak menentu di Perak bagi meyakinkan rakyat bahawa pihanraya semula perlu diadakan.

Saya percaya rakyat tidak akan termakan dengan cara dakyah mereka. Sivakumar tahu bahawa dia hanyalah ADUN biasa. Tindakannya terhadap saya sekali lagi menunjukkan sikap penghinaan terhadap keputusan mahkamah yang telah memutuskan bahawa keputusan yang dilakukannya dahulu menggantung saya ada tidak sah.

Tuesday, 28 July 2009

PERANAN MASJID

Saya tertarik dengan kenyataan Yang diPertua PAS Parit Buntar (Sinar Harian, 27 Julai, 2009)yang meminta saya mengotakan janji supaya masjid tidak dijadikan gelanggang politik. Saya ucapkan terima kasih kepada en Harun Salleh yang membangkitkan perkara ini. Katanya lagi kalau saya ikhlas jangan minta UMNO campurtangan untuk menentukan AJK Masjid.

Katanya lagi beliau tidak faham kenapa disebut gelanggang politik seolah-olah ia suatu penghinaan sedangkan ia adalah bidang yang mulia. Katanya lagi yang dilarang ialah politik ala Micheavelli seperti yang diamalkan UMNO.

Saya ingin nasihatkan Harun supaya hayati benar-benar perjuangan PAS samada mengamalkan politik ala-Michaevelli dan politik sekularisme atau tidak.

Masih ingatkah En Harun kenyataan paling popular Nizar dalam Dewan Negeri Perak suatu ketika dulu bahawa PAS tidak memperjuangkan politik Islam dan negara Islam. Lupakah En Harun baru-baru ini bila Nik Aziz kata jawaban kepada kenyataan saya mengenai Nizar memakai serba hitam memegang lilin perlu diberi cara politik dan bukan cara agama.

Sekarang pula mahukan kembali bercakap soal perpaduan selepas Manek Urai seolah-olah segala penggunaan hujah agama hanya untuk kepentingan politik kepartian dan bukannya demi agama.

Tuduhan pada UMNO sebagai komunis dan penganut ajaran Ayah Pin rupanya hanya permainan politik. Tidakkah ini dikatakan politik Macheavelli? Saya harap En Harun baca buku Macheavelli seperti the Prince untuk mengetahui apa itu politik Macheavelli dan siapa yang benar-benar mengamalkannya.

Saya setuju bahawa politik adalah suatu yang mulia sekiranya ia dihayati dengan baik dan sentiasa mencari kebaikan di dunia dan akhirat. Tetapi bagi hati yang keras (qalb qasi) ia bertindak dengan segala perbuatan kekerasan dan tidak memperdulikan samada dosa atau pahala bila memaki hamun, mencaci, menjatuhkan maruah orang dalam masjid dan surau.

Apakah semata-mata hendak mengatakan bahawa politik dan Islam tidak ada pemisahan maka masjid dan suraupun digunakan bagi menjalankan politik kepartaian sehinggakan tidak ada lagi batas hukum.

Benarkah PAS selama ini tidak menggunakan masjid dan surau sebagai tempat indoktrinasi politik. Benarkah golongan yang digelar ustaz dan tuan guru tidak pernah memaki hamun sultan dalam masjid?

Benarkah mereka tidak pernah maki hamun Tan Sri Mufti Perak dalam siri-siri tazkirah mereka?

Hakikatnya UMNO dan orang politik yang tidak sehaluan dengan mereka telah dan dicaci serta dihina. Masjid dijadikan seperti masjid dirar (masjid yang dibina oleh kaum pemecah belah ummat Islam di zaman Rasulullah).

Soal pemilihan jawatankuasa masjid tidak timbul perpecahan samasekali. Sewaktu zaman BN memerintah senarai AJK masjid bercampur tanpa keterlaluan dimainkan oleh sentimen politik. En Harun tentunya maklum ada orang PAS, PKR dan UMNO dalam kariah yang menganggotainya.

Tanyalah diri sendiri apakah bentuk kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan PR terhadap penyokong-penyokong BN yang menjadi aJK masjid.

Namun En Harun lupa bahawa kuasa dalam hal-ehwal Islam berada dibawah Tuanku Sultan. Manakala Tuanku Raja Muda adalah Yang diPertua Majlis Agama Islam yang melantik dan mengesahkan perlantikan AJK Masjid.

Ingatlah ketika menuding jari kepada orang, empat jari lagi sedang menuding pada diri sendiri!

Salam Perjuangan!

Monday, 27 July 2009

PERJUANGAN UMNO

Pada hari Ahad (26 Julai 2009) saya merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Lumut. Saban tahun inilah mesyuarat yang menjadi tempat ahli-ahli menyampaikan hasrat dan meneguhkan perjuangan.

Tema ucapan saya kali ini ialah membakar semula api perjuangan. Di samping itu saya turut membawa kembali semula kepada tema Bersatu, Bersetia, Berkhidmat yang teras kepada UMNO.

Selepas "tsunami politik" Mac 2008, UMNO menghadapi realiti cabaran yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini. Asakkan politik pembangkang dan terhakisnya kesatuan dan setia dengan perjuangan parti telah membuka ruang untuk sebahagian rakyat membuat keputusan mereka.

Gugatan dari percikan politik pembangkang semakin berleluasa. Mereka sedang ghairah dengan menghambur segala fitnah, menghasut rakyat dan menggunakan segala peluang dan ruang dengan melemparkan segala keburukan dan kejadian terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Sekalangan rakyat seperti dibiuskan dengan bahasa yang muluk-muluk sehinggakan api kebencian marak hingga ke tempat-tempat suci ibadat.

Apapun keadaannya UMNO dan BN perlu menerima realiti ini. Bahawa lanskap politik negara berubah dengan politik siber menjadi tunggaknya. Media baru melalui inter-net, blog, facebook, twitters menjadi rujukan yang seolah-olah menjadi tempat berpaksinya segala kebenaran dan pusat melancarkan serangan terhadap kerajaan BN.

Generasi muda menjadi rebutan kelompok pembangkang dengan bermain api emosi dan idea. Istilah-istilah yang menyentuh neuro golongan muda seperti kezaliman, kekejaman, diskriminasi kaum, rasuah,perampas kuasa, diktator dan sebagainya telah menyentap rasional mereka dan sekaligus bangun menentang apa yang mereka anggap membawa kembali hak-hak rakyat dan demokrasi.

UMNO sendiri perlu melakukan perubahan dengan melihat persekitaran baru yang dihadapi ini. Agenda perubahan yang diterajui oleh Presiden Parti Dato Seri Najib perlu dihayati oleh semua peringkat parti hatta ke peringkat cawangan.

Ketua-ketua cawangan bukan lagi menjadi suatu keistimewaan tetapi perlu memiliki ciri ketanggungjawaban untuk memikul amanah agar UMNO kembali dihormati di kampung-kampung dan taman-taman. Orang meluat mlihat perangai yang sombong, tidak ke masjid dan surau, tidak bercampur.

Orang Melayu masih mempunyai keyakinan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi peneraju perjuangan untuk semua. Cuma yang perlu dilakukan sekarang ialah bertindak bangun dengan membakar api perjuangan demi membawa masa depan untuk semua.

Friday, 24 July 2009

JAWAPAN NIK AZIZ

Masalah Nizar memegang lilin untuk memperingati mendiang Teoh nampaknya menjadi hangat.

Saya pada mulanya tidak berminat nak mengulas hal-hal Nizar kerana saya tahu dia memang suka bila ada orang mengulas tentang dirinya. Soalan dikemukakan oleh para wartawan kepada saya sebelum ini ialah tentang tindakan Nizar.

Jadi sebagai orang tidak mahu hentam sembrono, saya kata elok ditanya Tok-tok guru PAS tentang hukum tafakkur pegang lilin di hadapan gambar si mati.

Malah Nizarpun memang terkenal dengan orang yang suka menonjolkan diri sebagai yang kononnya hebat dalam agama seperti berebut nak jadi Imam, nak bagi tazkirah, nak bagi khutbah dan sebagainya.
Beberapa hari yang lalu Husam menjadi orang pertama mempertahankan tindakan Nizar atas alasan bahawa ianya tidak menjadi kesalahan dan menyalahkan pihak lain kononnya semua yang PAS buat dianggap salah.

Apa yang menarik pula ialah kenyataan Nik Aziz bahawa soalan saya untuk dirujuk kepada Tok-tok Guru PAS dianggap sebagai soalan politik.

Maka katanya eloklah dijawab cara politik. Katanya lagi saya ini orang politik dan bukan orang kaji agama. Tak apalah dengan tuduhannya mengatakan saya bukan orang kaji agama. Maklumlah orang yang mahir bab agama hanyalah dirinya. Tetapi nampaknya selama ini beliau kata agama dan politik tidak boleh dipisahkan adalah suatu yang retorik semata-mata.

Dia kata lagi saya nak minta fatwa apa sedangkan hukum demokrasipun saya tak pegang. Bukankah hukum demokrasi bererti majoriti memerintah.

Dia juga kena tanya dirinya dan Pakatan kenapa nak ambil kerajaan Malaysia secara tidak demokratik suatu ketika dulu.

Hari ini Nik Aziz kata tak jadi masalah dengan lilin meskipun Dewan Ulama menasihatkan ianya perlu dijauhkan bagi perkara yang mendatangkan keraguan. Nizar pula kata ia tidak menghadiri upacara Teoh, tetapi adalah upacara DAP.

Rakyat keliru sebenarnya kerana tuduhan gambar itu kononnya Utusan Malaysia. Dia lupa akhbar lainpun ada keluarkan. Soalan saya bukankah itu upacara mengingati Teoh yang dianjurkan oleh DAP yang dihadiri oleh Nizar berpakaian hitam sambil gambar mendiang berada di atas meja dan dipegang oleh Ngeh?

Saya tidak tahu samada gambar Nizar memegang lilin dengan khusyu sekali adalah gambar yang direka-reka oleh akhbar bagi menjatuhkan Nizar atau Nizar sendiri cuba berbohong kepada rakyat jelata.

Apapun bagi saya biarlah peristiwa Teoh Beng Hock ini tidak dijadikan isu bagi meraih simpati politik murahan.

Semua orang meratapi bagaimana Teoh mati dalam keadaan yang mengerikan. Kepada pembangkang usahlah keterlaluan dalam tindakan

Saturday, 18 July 2009

KEMATIAN TEOH

Saya amat simpati sekali dengan Teoh. Ia pasti menimbulkan pelbagai tanda tanya dan reaksi.

Apa yang penting pada saat ini ialah untuk sama-sama kita bertafakkur memberi penghormatan pada beliau. Bagi keluarga Teoh saya ucapkan takziah. Bagi tunang Teoh saya harap beliau tabah menghadapi saat yang sukar ini.

Dalam keadaan ini janganlah ada pula yang mahu mengambil kesempatan bagi menagih simpati umum untuk kepentingan politik. Setelah kekecamukan yang dilakukan dalam negara dan negeri, mereka tidak habis-habis menggunakan setiap kesempatan untuk mengalih perhatian rakyat bagi menyokong kononnya perjuangan rakyat.

Biarlah pihak berkuasa bertindak melakukan segala siasatan hatta dengan mengarahkan diwujudkan Suruhanjaya diRaja. Ini bukan soal untuk menutup mana-mana kelemahan tetapi ia perlu diselongkar agar jawaban sebenar kepada punca kejadian dapat dicari.

Malangnya saya melihat terdapat gerakan-gerakan yang cuba memanipulasi keadaan ini. Contohnya bila ada yang mengadakan upacara memakai pakaian serba hitam sambil memegang lilin dengan mengambil kesempatan menagih simpati politik untuk mereka dan bukannya untuk Teoh.

Demikian juga dengan tindakan-tindakan mempersoalkan SPRM seolah-olah badan itu melakukan tindakan terpilih dan tidak bertindak memastikan keselamatan malah mengancam nyawa mereka yang disoal siasat.

Sekali lagi saya tegaskan biarlah kes ini disiasat dengan sepenuhnya tanpa berselindung. Seandainya diperlukan sebuah Suruhanjaya untuk mengkaji setiap aspek maka saya sendiri menyetujuinya.

Wednesday, 15 July 2009

KEPUTUSAN MANEK URAI

Saya tidak terkejut dengan keputusan pilihanraya kecil Manik Urai yang memberi kelebihan kepada calon PAS dengan 65 undi.

Meskipun Husam Musa cuba menutup malu dengan mengatakan PAS menjangkakan akan kalah, sukar untuk percaya dengan kenyataan itu kerana semua orang tahu Manik Urai adalah kubu kental PAS.

Sewaktu keputusan diumumkan secara rasmi saya bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Majlis Tilawah al-Qur'an peringkat kebangsaan di Univeriti Teknologi Petronas, Tronoh.

Meskipun beliau kelihatan sedikit kecewa, tetapi ratusan sms yang diterima atas nama kemenangan moral menyebabkan beliau kembali ceria. Apatah lagi bila PM menelefon beliau dan mengucapkan tahniah dengan kemampuan BN kembali mendapat sokongan rakyat.

Saya yakin PAS sangat merasai "kekalahan" ini. Ketika PAS sedang berusaha untuk menjadi alternatif kepada UMNO, dan ketika imej UMNO dianggap berada di tangga terbawah, keputusan Manik Urai belum menjanjikan apa-apa untuk PAS.

Ini disebabkan sikap PAS yang keterlaluan dalam soal berpolitik sehingga menafikan agenda-agenda lebih besar buat ummat.

Orang Melayu melihat tingkah-laku PAS yang kemaruk kuasa agak keterlaluan. Sewaktu berkempen dan ceramah-ceramah yang disampaikan mereka begitu sombong dan angkuh. Kalau selama ini mereka anggap UMNO dan BN sombong, maka kini mereka sedang dilihat sebagai parti yang angkuh dan sombong.

Strategi kesucian Tok Guru yang digunakan juga sudah terungkai di Manik Urai. Orang Melayu lemas dengan kenyataan-kenyataan politik Tok Guru yang menolak perpaduan dan menyamakan UMNO seperti komunis dan Ayah Pin.

Jauh di lubuk hati orang Melayu tidak dapat menerima kenyataan ini meskipun indoktrinasi PAS dalam isu kafir-mengkafir terus berjalan.

Melihat jentera PAS amat hebat dan menggerunkan. Ia mengingatkan suatu ketika dulu bila jentera pilihanraya BN menguasai setiap penjuru. Kini PAS cukup hebat dengan poster, bendera, kenderaan, peralatan-peralatan canggih sehingga ada yang bertanya banyak sungguh duit PAS sekarang.

Tambahan lagi dengan kerajaan yang dikuasainya dan tindakan memberi cuti sehari tidak sepatutnya ia mendapat hanya 65 undi.

Saya anggap masa untuk melihat survival ummat masih belum terlambat. PAS khususnya pemimpin-pemimpin utamanya boleh melakukan anjakan baru dengan benar-benar kembali menghayati kemurniaan Islam yang dilandasi oleh ilmu dan iman, bukannya seteru dan fitnah asakan.

Sunday, 12 July 2009

PERIHAL PAFA

Saya sebenarnya tidak mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), sehinggalah apabila para wartawan bertanya saya apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah kewangan PAFA yang sekarang ini dipimpin oleh Dato Seri Nizar Jamaluddin.

Saya jawab bahawa saya kurang arif tentang perkara itu dan kebiasaannya pemimpin kena bertanggungjawab untuk mencari jalan untuk menyelesaikannya. Kalau enggan maka eloklah diberikan kepada yang berkemampuan.

Jawapan saya itu tidak bermaksud bahawa saya terlalu "teringin" jawatan itu. Nampaknya Nizar tak boleh tahan dengan kenyataan saya itu. Dia begitu melenting sekali.

Maka dikeluarkan kenyataan akhbar yang panjang dengan menuduh saya cuba mempolitikkan sukan sambil mengatakan saya tidak profesional. Saya tidak pernah mempolitikkan sukan.

Sewaktu saya menjadi exco kerajaan negeri saya pernah dipujuk untuk menjadi Presiden PAFA, tetapi saya menolak dengan baik. Kalangan ahli jawatankuasa sedar bahawa saya memang minat dengan bolasepak sehinggakan bila ada masa lapang saya akan berada di stadium dengan penyokong-penyokong Perak bagi memberi sokongan kepada pasukan kita.

Saya memang sayang pasukan Perak. Tetapi di sebalik mengatakan saya cuba mempolitikkan sukan, sebenarnya orang itulah yang "kata dulang paku serpih, kata orang, awak yang lebih". Saya setuju jangan ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan bolasepak atau sukan di negeri pihak.

Sukan adalah suatu yang semulajadi untuk dinikmati oleh semua. Sebab itulah PAS yang dulunya tidak memberi perhatian dan sepi kepada kegiatan sukan, sekarang ini bermacam acara sukan dianjurkannya kerana tahu bahawa ini adalah cara untuk menarik anak muda.

Dulu sukan amat sinonim dengan Pemuda UMNO.

Thursday, 9 July 2009

DATO' SRI NAJIB'S 100 DAYS

Dato Seri Najib will cross the threshold of his 100-day as the 6th Prime Minister of Malaysia. Many people look at it as the time to assess his leadership.

When I was broached by journalists on the matter, I told them I did not have any specific target for the 100-day in leading the state. My role as a leader started from the first day I was appointed.

This is based on my view that leadership is a continuous process of achieving a specific vision in a specific time-frame. Dato Seri Najib is a man of high calibre and intellectually sound. In the first 100 days, people will remember him for setting up an agenda of change and reform.

This adaptive change is what is expected of him.New leader, new regime. But one must remember that Najib's coming to office was (and is) at a time the country is up against global economic uncertainty.

In addition to that, the political turmoil spearheaded by Pakatan Rakyat. The opposition has gone beyond democratic values, exploiting every possible way to challenge Najib's legitimacy. This includes casting doubt and character-assassination unimaginable to our modern political landscape.

But Dato' Seri Najib has been very cool and patient in face of the relentless onslaught. I think one reason for the opposition's unending attack is the fact that Najib possesses a charismatic appeal.

Thus it is only best to paint him in the darkest shades of hue. They are extremely worried that Najib will halt their dream to form the next government after series of failed attempts.In my conversation with him,

I am certain that Najib is representing the voice of the new generation. He is the hope of the Y Generation. His hope and dream must be well articulated understood and implemented by the cabinet, chief ministers, MPs, ADUNs, and party leaders at all levels.

The 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan must be carried out whole heartedly by all band of leadership. It is time to reflect on our rakyat-centric approach and to find why Najib keeps stressing on the need to emphatize the people's needs.

After all, leadership is not a privilege but a responsibility.

KENYATAAN AKHBAR YAB DATO’SERI DR ZAMBRY BIN ABD KADIR


Merujuk kepada Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang membenarkan permohonan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin (Ahli Dewan Negeri Pasir Panjang) untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2009, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah mengarahkan peguam saya supaya tidak membantah permohonan bekas Menteri Besar itu.

Keputusan untuk tidak membantah permohonan itu dibuat bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan secara muktamad di Mahkamah Persekutuan Malaysia iaitu satu institusi kehakiman yang tertinggi di Malaysia.

Keputusan muktamad ini diperlukan segera bagi memastikan kelicinan pentadbiran Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat jelata.

Selagi ia tidak diselesaikan di peringkat perundangan yang tertinggi, saya percaya selagi itulah ada pihak-pihak yang tertentu akan terus mencabar kesahihan kedudukan kepimpinan majoriti yang sedia ada.

Matlamat saya adalah jelas iaitu meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat di atas segala-galanya.

Saya juga menerima apa saja keputusan mahkamah kerana saya percaya terhadap kedaulatan undang-undang.

Saya juga meminta Nizar atau sekutu-sekutunya tidak terus menempelak kedaulatan mahkamah dan sistem perundangan dalam siri-siri ceramah atau melalui apa cara sekalipun bagi meracuni pemikiran rakyat seolah-olah sentiasa meletakkan mereka di singgahsana tertinggi dengan sentiasa benar dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sekian terima kasih.

Monday, 6 July 2009

PILIHANRAYA KECIL MANIK URAI

Saya berada di Manik Urai untuk bersama dengan pimpinan BN memberikan dokongan kepada calon BN Tuan Abdul Aziz Tuan Mat.

Sejak menjadi Menteri Besar jarang sekali saya keluar dari Ipoh untuk pergi lebih jauh dari Kuala Lumpur. Saya sampai di Kelantan dan tidur bersama dengan rakan-rakan di sebuah kampung di Manik Urai.

Ini adalah pengalaman yang banyak memberi pengajaran akan perjuangan kepada setiap pendokong. Tidak kira samada pemimpin atau yang dipimpin hendaklah bersama menanamkan solidariti dalam saat sebegini.

Proses penamaan calon nampaknya berjalan dalam suasana yang baik. Syabas kepada polis yang berjaya membuat pemisahan tempat yang jauh antara kedua-dua penyokong parti.

Maka tidak kedengaran sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan.
Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa pimpinan kerajaan dan pembangkang. Waktu berada di tempat saya seorang ADUN muda dari Perak datang ke tempat saya dan sempat berbual dengannya.

Saya ucapkan terima kasih kepadanya kerana datang pada saya. Dia menyebut bahawa dirinya bukan seperti sekalangan rakannya dari PR. Dia mohon agar dapat bersama dengan saya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Saya sebutkan padanya bahawa saya tidak pernah mendiskriminasikan golongan miskin tegar atau mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kerajaan.
Saya dan rakan pimpinan BN seperti Dato Hishamuddin jua berkesempatan bertemu dan bertegur sapa dengan pimpinan pembangkang seperti Mustapha Ali, Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Kamaruddin Jaafar, Theresa Kuok, dan lain-lain.

Kelihatan semuanya mesra dan bersalaman dengan saya dan Hishammuddin.
Saya kira politik di Kelantan akan membuka lembaran baru untuk membina kekuatan semula.

Namun kesungguhan jentera dan kesediaan untuk bergerak di kalangan semua akan memberikan natijah yang baik kepada BN.

Saya fikir orang Kelantan mungkin akan kembali memilih suatu nama lagi Aziz bin Mat. Cuma kali ini Tuan Aziz Tuan Mat, bukannya Nik Aziz Nik Mat.

Sunday, 5 July 2009

PR People- Friendly Policies?

I have never made statements to dispel any good move to better the life of our rakyat.

What I have been arguing all this while is the need to objectively analyze what BN has done for the people for the past 52 years.

But for them to make sweeping generalizations that BN has not done anything good for the people is simply unfathomable.

However, BN admits that its record has not been perfect. So much more needs to be done as society evolves and new challenges crop up.

The opposition however, is relentless in its attack of BN. Everything BN does is a subject of scrutiny.

They want the public to believe that the choice of a better government lies in them and them only.

Unwittingly they have contained the people or rakyat into a domain where they are king and where their word is law. In the process they dismiss the fact that we, too, are one with the rakyat.

For the opposition the rakyat only means those who support them. The supporters of BN seem to come from a totally different realm.

With the widening rift now in Pakatan Rakyat it seems befitting to term the loose coalition Pakat Rebut! The end goal in their power play is who has the upper hand.

Sadly the rakyat is caught in the crossfire and becomes the sacrificial lamb

Saturday, 4 July 2009

JASAMU TETAP DIKENANG

Dato Tajuddin Rahman, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak menganjurkan bersama dengan Kerajaan Negeri Perak Program Jasamu DiKenang bagi mantan Perdana Menteri Tun Abdullah pada 4hb July yang lalu.

Bagi orang yang selalu melihat wajah dan watak Dato Tajuddin dalam media mungkin tertanya kenapa beliau menganjurkan program sedemikian untuk Pak Lah?

Sebenarnya Dato Tajuddin di sebalik wataknya yang dianggap keras, sebenarnya seorang yang lembut dan mulia hatinya. Saya tidak dapat bayangkan betapa halus jiwanya yang tiba-tiba sahaja mengalirkan air-mata sewaktu menyebut nama Pak Lah ketika hendak memulakan ucapan.

Pak Lah berbisik pada saya itulah sebenarnya Tajuddin.
Kehadiran Pak Lah disambut dengan meriah. Saya turut bergembira kerana dua mantan MB Perak iaitu Tan Sri Ramli dan Dato Seri Tajol turut bersama.

Dalam ucapan alu-aluan saya sebutkan pada Pak Lah tentang erti budi dan kesetiaan dalam kehidupan insan politik. Ini kerana kehidupan insan politik sudah menjadi tabi'I akan hakikat semakin kecil kawan-kawannya kerana sudah tidak berkuasa.

Pak Lah memberi nasihat kepada saya supaya mentadbir negeri dengan baik dan tidak terikut dengan rentak pembangkang. Pelihara hubungan baik dengan semua orang dan bekerja sebagai satu pasukan.

Pak Lah menyatakan bagaimana beliau menghormati Dato Seri Najib. Beliau berdoa pada Allah agar tidak membebani Dato Seri Najib dengan masalah dan kritikan yang boleh melemahkan kerajaan.

Meskipun Pak Lah kini hanya mantan PM, hormat terhadapnya tetap wujud. Paling dikenang ialah bagaimana beliau begitu tenang dan sabar menghadapi setiap dugaan hidup.

Saya bertanya padanya apa yang dirasainya sekarang, katanya suatu yang berharga ialah ketenangan jiwa.

Sebagai orang perjuangan tidak ada nokhtah dalam hidupnya.
Saya melihat Tun Jeanne yang begitu lembut peribadinya menampilkan ciri seorang isteri yang sentiasa prihatin kehidupan Pak Lah.

Pak Lah sendiri menasihati saya agar isteri sentiasa menjadi asset yang baik dalam kehidupan keluarga dan di mata rakyat jelata.
Meskipun mungkin ada yang sebelum ini menganggap Pak Lah bermacam-macam, saya fikir negara kita tidak melahirkan pemimpin yang bebal atau diktator

Monday, 29 June 2009

BENCI TANPA RINDU

Saya menghargai setiap pandangan yang dilontar untuk mengukuhkan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam siri lawatan saya ke daerah-dearah saya dapati pelbagai aduan dikemukakan. Mereka bertanya dengan penuh beradab sekali.

Perkara yang menjadi cabaran sekarang ialah bagaimana pegawai-pegawai pelaksana dapat melangsaikan semua aduan dan keluhan rakyat. Saya sebutkan bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu ada ADUN Pembangkang yang mahukan saya mendengar masalah di kawasan mereka. Cuma ada yang segan. Ada yang telefon saya, tetapi setelah ditentukan tarikh untuk datang, dia tidak datang.

Saya tidak tahu mengapa.

Mungkin dia berfikir semula samada perlu datang atau tidak. Kalau datang bermakna dia terpaksa menjilat ludahnya. Kalau tak datang rakyat di kawasannya sedang memaki-hamun akan sikapnya yang tidak melakukan apa-apa perkhidmatan kepada mereka.

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham khabarnya mengatakan bahawa saya melenting apabila dikritik oleh Pakatan Pembangkang. Saya tak tahu apa yang dimaksudkannya. Dia lebih tahu bagaimana sikap saya selama ini yang tidak mudah mencebik atau memaki hamun atau melenting tak tentu pasal.

Yang selalu melenting ialah dia dan konco-konconya. Mereka sentiasa rasa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah dan dosa belaka.

Saya tidak pernah mendiskriminasikan setiap permasalahan yang dibawa olehnya sewaktu saya menjadi ahli exco kerajaan negeri zaman Barisan Nasional dulu. Waktu itu dia memuji saya melangit kerana sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat.Apapun yang mereka kata, sekelian kita perlu bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.

Tanggungjawab sekelian kita ialah kembali mendambakan diri kepada rakyat, dan bersama dengan rakyat, dan tidak menari mengikut rentak mereka.

Saturday, 27 June 2009

DILEMMA PPSMI

Sejak ia diperkenalkan PPSMI telah mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju dengan gagasan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu.

Bagaimanapun ramai juga khususnya pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan termasuk kelompok persatuan-persatuan Cina menentang keras pelaksanaannya. Kemuncak penentangannya, yang turut dieksploitasi oleh pembangkang, ialah demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur suatu ketika dulu.

Banyak kajian yang menunjukkan pencapaian pelajar Melayu semakin menurun. Malah saya difahamkan pelajar India lebih baik pencapaiannya. Kohort pertama sudahpun keluar.

Apakah pelajar Melayu sahaja yang menjadi mangsa? Ini kerana lebih daripada 60 peratus pelajar Melayu seolah-olah berada dalam keadaan keterpaksaan belajar dalam bahasa Inggeris.

Yang menyedihkan ialah pelajar-pelajar luar bandar yang menjadi mangsa diikuti pula dengan kemampuan para guru yang saya difahamkan hanya sekitar 32 orang yang benar-benar mencapai tahap 1 di peringkat rendah.

Tapi kita juga berada di persimpangan ketika mana masing-masing mula mempersoalkan tentang "employability" para graduan untuk berada dalam pasaran kerja. Ini ditambah lagi dengan dunia yang dilingkungi oleh globalisasi.

Malah yang turut dipersoalkan ialah pelajar-pelajar kita yang dijadikan bahan "eksperimen". Bagaimana pula dengan soal memartabatkan Bahasa Malaysia.

Sememangnya bagi semua yang mahukan soal jati-diri bangsa diperkasa maka pelajar perlu ada bahasa yang menjadi identiti warga. Namun kita perlu ingat bahawa sejauhmanakah setiap daripada kita bersedia tanpa mengira kaum untuk memartabatkan bahasa Malaysia.

Apakah isu penghapusan PPSMI bermakna semua kaum bersetuju bahawa di peringkat sekolah rendah semua pihak akan mengajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Jawapannya tidak!

Hanya sekolah kebangsaan sahaja akan kembali, sebaliknya sekolah Cina dan Tamil akan mengajar dalam bahasa Ibunda masing-masing. Hujah bagi sekolah Cina ialah pengajaran di peringkat awal khususnya di peringkat sekolah rendah dalam bahasa ibunda adalah penting dalam membentuk jati-diri dan identiti mereka.

Ini ditambah lagi dengan pandangan sekalangan pakar-pakar bahawa pembelajaran akan lebih mudah dengan menggunakan bahasa ibunda.

Apapun akan ada pihak yang menyalahkan Dr Mahathir kerana memperkenalkan PPSMI ini. Namun tidak ada sesiapa yang dapat menafikan keprihatinan beliau untuk melihat anak bangsa dapat bersaing di pentas global, dan tidak disisihkan dari menikmati peluang pekerjaan akibat ketidakmampuan dalam bahasa Inggeris.

Pembangkang pula akan menganggap bahawa sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk memberhentikan PPSMI maka ia dianggap sebagai suatu kejayaan mereka selepas suatu demonstrasi besar tempohari.

Yang membimbangkan saya ialah anak-anak kita akan terus menjadi eksperimen dengan ditambah lagi mata-pelajaran baru dan tambahan masa yang semakin menyulitkan mereka untuk membesar secara tabi'i sebagai insan.

Apakah semua ini membayangkan bahawa kita sedang berada di persimpangan antara menguasai bahasa Inggeris dan memartabatkan bahasa Malaysia sebagai cerminan jiwa bangsa? Kebimbangan kita ialah apabila pendidikan terlalu dipolitikkan bagi menagih simpati pengundi.

Justeru itu pengumuman YAB Perdana Menteri Dato" Sri Najib Tun Razak, untuk benar-benar memperhalusi sebarang cadangan dalam pelaksanaan PPSMI ini adalah suatu yang dialu-alukan. Biarlah rakyat menentukan di samping dibuktikan dengan fakta-fakta yang dikumpul.

AMARAH TOK GURU

Saya dapat memahami perasaan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bila menyatakan UMNO sama dengan komunis, ajaran Ayah Pin dan sosialis.

Ini kerana Tok Guru juga adalah insan politik yang tidak dapat lari dari amarah politik. Tambahan lagi sejak dalam politik sekian lama indoktrinasi politik benci kepada UMNO begitu menunjang.

Meskipun dalam al-Qur'an menganjurkan supaya berlemah lembut dengan sesama ummat, tetapi apa yang kita saksikan ialah sikap yang lebih lunak dan lembut ditunjukkan kepada orang yang dengan tegas menentang segala cita-cita Islami PAS.

Akibat kebencian yang teramat sangat kepada UMNO, ia sudah melupai segala uslub al-da'wah yang sering dikuliahkan.

Maka tidak hairanlah kita mendengar hujah dari mereka bahawa "UMNO itu zalim, DAP itu kafir. Maka lebih baik berkawan dengan orang kafir dari berkawan dengan orang zalim". Ada yang bertanya kepada saya kenapa sampai hati Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Saya jawab bahawa saya tidak terkejut dengan kenyataan Tok Guru kerana itulah alam fikirnya. Bagaimanapun saya yakin bahawa apa yang diluahkannya adalah terzahir daripada amarah yang memuncak.

Cuma kalau ada orang yang memikirkannya maksum (terlepas dari sebarang dosa), barang diingat bahawa dalam tradisi Sunni beliau juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa.

Mungkin selepas menyedari kesilapannya, Tok Guru kemudiannya berkata bahawa ia hanya kiasan sahaja. Bagaimanapun saya kurang arif pula melihat "kelaku" nya yang sejak akhir-akhir ini membimbangkan saya.

Kemarahannya terhadap Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa seperti yang disiarkan dalam TV benar-benar meluap dan bukan main-main. Sehinggakan ayat-ayat yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang menganggap dirinya ulama, terkeluar juga.

Saya juga kurang mengerti apakah disebabkan oleh kegagalan Husam Musa menang sebagai Timbalan Presiden menyebabkannya bertindak sehingga ke tahap itu. Apapun hujah beliau, menuduh UMNO atau mengkiaskan UMNO seperti komunis, Ayah Pin dan sosialis adalah perbuatan golongan pelampau atau secara kiasannya juga menggambarkan keangkuhan ilmu.

Saya hairan bagaimana tuduhan berat kepada kiasan sossialisnya UMNO boleh dihamburkan, tetapi dalam masa yang sama memeluk DAP seerat-eratnya yang juga berfahaman sosialis.

Thursday, 25 June 2009

LAWATAN KE LENGGONG DAN GERIK

Saya dan rakan-rakan pimpinan sekarang bergerak ke daerah-daerah bagi memulakan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan negeri. Ini kerana dalam beberapa bulan kita berhadapan dengan kekangan yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

Langkah awal ialah dengan mengadakan program bertemu rakyat dan memberi ruang kepada rakyat untuk bertanya masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Saya amat menghargai masalah yang dikemukakan oleh mereka--dari masalah tanah hinggalah ke masalah perumahan dan kehidupan harian.

Setiap daerah mempunyai masalah tersendiri. Malah yang menarik ada daerah yang mempunyai masalah yang tidak dihadapi oleh daerah lain seperti masalah gajah dan pembuangan kera-kera ke kawasan mereka seperti yang dihadapi oleh daerah Gerik dan Pengkalan Hulu.

Mendengar permasalahan yang wujud itu saya yakin sekiranya semua pihak pantas menyelesaikan masalah rakyat maka tidak wujud perkara-perkara tertunggak yang berlanjutan sekian lama.

Kita perlu punya rasa simpati dan empati (empathy) dalam menangani masalah rakyat. Namun kita maklum ada perkara yang perlu diatasi segera dan ada pula yang memerlukan waktu.

Namun jangan sampai perkara yang memerlukan waktu dijadikan alasan untuk terus melupai tanggungjawab menyelesaikan masalah. Itulah mesej yang saya sampaikan kepada kakitangan kerajaan.

Untuk itu saya berusaha meyakinkan mereka bahawa tempoh dua minggu perlu dijadikan KPI tindak-balas kepada rakyat. Beritahu rakyat bahawa tindakan sedang diambil terhadap sebarang permasalahan.

Kita sedia maklum bahawa masalah rakyat adalah pelbagai. Dalam waktu yang sama ada kelompok yang terus meracuni pemikiran rakyat seolah-olah tidak ada apa yang istimewa dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Orang ini tidak kira tempat memaki hamun BN kononnya sepanjang lebih 50 tahun memerintah BN tidak melakukan apa-apa untuk rakyat. Mereka sanggup berbohong dalam ceramah-ceramah termasuk menuduh saya kononnya menarik balik pemberian tanah kepada Pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu.

Mereka menggambarkan bahawa tempoh pemerintahan singkat mereka telah membawa suatu keajaiban kepada sekelian rakyat jelata. Permohonan tanah kononnya begitu pantas diproses. Saya bertanya kepada Pegawai-pegawai Daerah apakah mekanisme yang "hebat" itu, sekurang-kurangnya saya dapat meniru kaedah tersebut.

Benarkah semua daerah mengadakan mesyuarat tanah sebulan sekali seperti yang diwar-warkan? Kesemua Pegawai Daerah menyatakan tidak wujud perkara-perkara yang didakwa.

Namun saya sedar pejabat daerah dan tanah adalah menjadi perhatian rakyat dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih pantas.Saya kira dengan kaedah dan kesedaran yang baik kita akan dapat meningkatkan sistem penyampaian yang lebih sempurna kepada rakyat.

Saturday, 20 June 2009

BERSAMA TUN DR MAHATHIR

Kekuatan Tun Mahathir ialah nilai keintelektualannya yang tidak jemu-jemu menyentuh tentang Melayu.

Pandangannya tentang nasib dan masa depan Melayu tetap konsisten. Adakalanya Tun dikritik kerana menempelak sikap Melayu yang selesa dan mudah lupa. Adakalanya ia diangkat sebagai wira Melayu atas keberaniannya.

Pada 20hb June, Gabungan Melayu Perak telah menjemput Tun untuk merasmikan Persidangan mereka. Melihat wajah Tun dan kecergasannya saya terpanggil untuk membandingkannya dengan Lee Kuan Yew.

Jelas Tun masih gagah. Kebetulan pula LKY baru sahaja melawat Perak. Seperti biasa Tun tidak pernah menyembunyikan sikapnya terhadap LKY yang dianggap sebagai Little Emperor sehingga ada pemimpin-pemimpin yang katanya "terbongkok-bongkok" pergi mengadap LKY dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Kita memahami hubungan kedua-dua pemimpin ini yang telah menempa sejarah kepimpinan dunia.

Apa yang menarik dari ucapannya ialah keadaan Melayu hari ini yang semakin lemah dan menjadikan mereka cemas. Sikap cemas dan bimbang dengan keadaan adalah petanda positif kerana ia akan membawa kepada perubahan.

Tetapi katanya Melayu tidak boleh ambil mudah. Demografi dan geopolitik Malaysia sudah berubah. Melayu tidak boleh selamanya bergantung sesama sendiri untuk menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Dulu jumlah pengundi Melayu sebanyak 80 peratus. Tetapi selepas pemberian kerakyatan 1 juta kepada bukan Melayu di zaman Tunku, katanya, keadaan sudah berubah. Keadaan menjadi lebih sukar apabila Melayu terus berpecah.

Hari ini jumlah majoriti Melayu bukan lagi menentukan kuasa mereka. Ini kerana kuasa politik Melayu yang sudah terhakis akibat perpecahan ditambah lagi dengan kehilangan kuasa ekonomi.

Fenomena kuasa ditentukan oleh ekonomi berlaku di mana-mana sahaja. Amerika sebagai contoh, kuasa politik seorang Presiden ditentukan oleh golongan Yahudi yang hanya mempunyai seramai 10 juta orang dari keseluruhan penduduk Amerika yang melebihi 300 juta.

Sekarang ini golongan muda semakin hilang keyakinan terhadap dasar DEB yang melahirkan mereka. Mereka sendiri tidak lagi menganggap Dasar itu adalah dasar yang baik. Di pihak yang lain pula, mereka mengambil mudah segalanya dengan meyakini bahawa ini adalah negaranya, maka ia lebih gembira untuk menjadi Mat Rempit dan sebagainya.

Akibatnya juga ramai yang terjerumus dalam penagihan dadah, kes-kes rogol dan buang anak yang melibatkan Melayu. Apakah wajah baru Melayu yang dihidangkan untuk tatapan masa depan bangsa.

Generasi muda adalah harapan kita, tetapi lihatlah keputusan saluran-saluran peti undi yang mewakili mereka sudah tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional. Mereka lebih percaya kepada hidangan propaganda pembangkang melalui media baru yang menyajikan segala bentuk tuduhan, fitnah, cacian, sehinggakan semua itu dianggap suatu kebenaran.

Wacana baru dengan generasi muda perlu dimulai dengan menyingkap tabir kesinisan dan kebencian mereka terhadap UMNO dan pemimpinnya. Saya yakin generasi muda akan kembali bersama UMNO dan BN apabila permainan politik yang disajikan kini khususnya oleh pembangkang semakin dilihat sebagai suatu helah dan tipu daya.

Friday, 19 June 2009

BERTEMU RAKYAT BAGAN SERAI

Pada hari khamis yang lalu saya berpeluang melawat kawasan Bagan Serai. Daerah Krian meninggalkan nostalgia kepada saya khususnya sewaktu zaman persekolahan saya.

Ia terkenal sebagai antara jelapang padi negeri Perak yang kebanyakkannya dihuni oleh suku Banjar.

Saya berkesempatan membawa motosikal bersama isteri meninjau Parit Hj Gabis dan sempat melawat beberapa rumah rakyat yang miskin. Saya terharu melihat mahasiswa dan siswi UiTM yang melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bersama berada di lapangan untuk menghayati kehidupan rakyat di luar-luar bandar.

Ia mengingatkan zaman mahasiswa saya yang pernah melalui detik ini dan berada di pendalaman kampung di Semenanjung dan Sarawak untuk bersama membela nasib rakyat.

Saya dan rakan-rakan mengambil pendekatan perjuangan mahasiswa atas nama gerakan sosial yang terfokus. Kami tidak dihimbau oleh retorik-retorik politik semata meskipun ada waktunya kami kritikal dengan dasar-dasar pemerintah.

Namun tidak bermakna kami anti dengan pemerintah. Agenda yang kami bawa adalah mahasiswa sebagai agen perobah dan pembangun masyarakat ke arah kebaikan.

Melihat keadaan Parit Gabis saya merasakan bahawa perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat adalah suatu yang dinamik. Keadaan masa yang berubah memerlukan pengupayaan semula kehidupan mereka.

Sebagai contoh, mereka sudah punyai rumah, namun keadaan rumah yang sudah lama dibina tentunya perlu dibaiki. Bagi yang mampu tentunya sudah dibaiki tetapi bagi yang tidak mampu perlukan pembelaan.

Apa yang kita saksikan semakin menginsafkan untuk meneruskan tradisi membela rakyat. Saya harap kehidupan mereka tidak terlalu dipolitikkan seperti yang saya saksikan sewaktu berada di sana.

Sudah menjadi tabiat mereka apabila ada pemimpin BN hendak melawat kawasan tertentu maka penuhlah dengan bendera mereka dipasang di merata tempat. Tetapi saya tidak ambil peduli dengan apa-apa bentuk provokasi mereka.

Yang penting adalah usaha-usaha untuk membantu rakyat perlu diteruskan tanpa terlalu dikongkong oleh titik bengit politik yang tiada kesudahan.Saya amat gembira kerana berkesempatan bertemu dengan ribuan rakyat jelata.

Malah sempat bersolat zohor dengan Adun PAS Selinsing YB Haji Hussin Din dan penyokong-penyokongnya di Masjid Daerah di Bagan Serai.

Para jemaah yang melihat kemesraan saya dan YB Haji Hussin, menyatakan alangkah indahnya bila ummat Islam dapat bersatu.

Wednesday, 17 June 2009

TINGKAH LAKU TIGA "N"

Saya tidak terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Nizar, Ngeh dan Nga (3-N)dalam sidang Dewan Rakyat pada 15hb June 2009.

Ada yang bertanya akan komen saya tentang sikap yang ditunjukkan oleh Nizar. Saya katakan bahawa ianya tidak menghairankan kerana perkara yang sama pernah dilakukannya pada 7hb Mei lalu dalam DUN Perak.

Malah saya katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Nizar di Dewan Rakyat hanyalah sekelumit sahaja berbanding dengan apa yang dilakukannya di DUN Perak.

Bayangkanlah kami ahli-ahli DUN dari BN terpaksa berada dalam zon perang selama lebih lima jam diserang oleh mereka sehingga tidak lagi menghormati kawasan dan tempat duduk yang disediakan.

Saya juga amat sedih dengan nasib rakyat di Bukit Gantang yang memberi kemenangan kepada Nizar dalam pilihanraya kecil baru-baru ini.

Bayangkanlah bila sebaik sahaja mengangkat sumpah terus tidak pedulikan tugas sebagai ahli parlimen tetapi bertindak atas kepentingan diri dan kuasa.

Saya percaya rakyat Bukit Gantang amat getek dengan perilaku sebegini.

Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang menganggap perbuatan itu hanya mewakili Nizar dan DAP sahaja. Tidak semua mereka yang bersetuju dengan tingkah sebegitu.

Saya anggap peristiwa itu jelas menunjukkan kejengkelan peribadi dan perbuatan yang sama sekali jauh dari amalan tatasusila.

Sunday, 14 June 2009

A SHORT NOTE : LEE KUAN YEW'S VISIT

It was quite a meaningful experience when a leader of city-state Singapore visited us on June 12.

Lee Kuan Yew is well known to many of us, especially for his contribution in building a modern Singapore, including his style of leadership which has been the subject of varied interpretation to different people.

The relationship with Malaysia is surely the most interesting part. I'm certain LKY would never brush aside the significance of the Malaysia-Singapore ties.

His recent visit clearly indicated his nostalgic reminiscing of what was, besides his interest of wanting to learn more about the current political landscape in post 2008. In one of the conversations, he mentioned about the need to strengthen the relationship between the younger generations of both countries.

During his time, he said, relationship was based more on social rather than diplomatic relations. This is because Malaysia and Singapore have a lot in common, in addition to sharing social and historical affinity.

Saturday, 6 June 2009

TIME TO WORK

I am told that next week Nizar Jamaluddin is going to file a stay in the Federal Court to continue with Pakatan's version of who is the legitimate MB.

I was also imformed that Pakatan has every intention of continuing and bringing their political agenda to the next level.

A new series of ceramah will be launched. The so-called "1black Perak" t-shirt will be adorned.

Despite all the hype, I assure the rakyat of Perak that my executive councillors and I will continue with our usual business of the day – helping to maintain stability and bringing about development for the people.

For example yesterday, I visited Hospital Tuanku Bainun to observe the current level of dengue cases. After that I met with hospital administrators and discussed the hospital's requirement for the cardiology, paediatric and maternity departments.

All these are part of the government-of-the-day's efforts to improve public delivery services for the rakyat. I'm happy to note the hospital team of doctors and nurses are very dedicated.

A day earlier I was in RPS Dala, Gerik accompanying His Royal Highness the Sultan deep into the jungle to launch the solar power hybrid for the Orang Asli.

It was a fascinating experience to be with the Orang Asli who have been living there all their lives and to witness the government's efforts to provide infrastructure to uplift their well-being. I must say more should be done to increase their economic and education conditions.

I'm also working with the increasing number of investors who have started to flock back to Perak to enquire about investment opportunities.

Tonight the meeting with Bahrain's group and Perak Chinese Chamber of Commerce will be held.

This school holidays also mean weddings for new couples. I have to attend as many as possible. I'm honoured to be invited but I must apologise that it is not possible for me to fulfill all in one day.

I have attended least 20 houses over the weekend. I'm happy because people are still friendly and they are equally honoured with my presence.

Judging from what I have witnessed, people want their lives to continue without disruption. They are fed-up with the unending attempts to change the political landscape of the state. They want a new beginning and do not want their daily routines to be manipulated with delusions of change and political upheaval.

I'm certain that people are beginning to judge that the call for destruction and to wipe-out any party is just not BN's way.

We are not the doomsday slayers who are utterly devoid of rationality. In essence, people will realise that the delusionist will always work to make the culprit the victim, and the victim the culprit.

Salam Perjuangan !

Monday, 1 June 2009

MENYEMAI KEBENCIAN

Perkara yang paling saya tidak gemar ialah bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.

Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat).

Kelmarin berlaku angin puting beliung yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, iaitu kawasan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Sebagai Menteri Besar saya tidak perlu mendiskriminasikan kawasan pembangkang dan kawasan kerajaan bila berlaku hal-hal begini. Lebih 100 buah rumah yang terlibat samada kehilangan bumbung atau ditimpa oleh pokok kelapa dan sebagainya.

Kawasan DUN Pasir Panjang berada dalam Parlimen Lumut, di mana saya juga adalah Ketua UMNO Bahagian Lumut. DUN Pangkor iaitu kawasan saya juga berada dalam Parlimen Lumut.

Saya sempat meninjau kejadian angin kuat yang memukul kawasan pantai DUN Pasir Panjang sehingga membawa ke kawasan Rungkup.

Alhamdulillah tidak berlaku sebarang perkara lebih buruk seperti kehilangan nyawa. Apa yang agak menarik dalam kebanyakkan rumah yang saya lawati itu, ada sebuah rumah yang menjadi perhatian saya.

Saya melawat rumah keluarga nelayan yang ditimpa pokok kelapa. Mengikut maklumat yang saya terima keluarga nelayan ini membina rumah di atas tanah yang bertuan yang juga jirannya.

Bila sampai saya, Dato' Seri Kong Cho Ha (Ahli Parlimen Lumut dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), pegawai daerah dan YDP Majlis Perbandaran Manjung, meletakkan kereta di kawasan jalan ke rumah mangsa.

Kebetulan hanya ada dua buah rumah sahaja di situ, satu rumah tuan tanah dan satu lagi rumah mangsa. Apa yang mengejutkan pemandu saya, Tuan DO, Menteri, dan YDP ialah bila tiba-tiba sahaja tuan rumah (yang berusia awal 40an) meluru ke arah kereta dan mengarahkan supaya keluar dan melarang kereta kami diletakkan disitu.

Katanya dia juga bayar cukai dan dia punya hak untuk benarkan siapa masuk. Masing-masing tercengang lihat gelagatnya sehingga ketua kampung hilang sabar.

Bila ditanya rupanya dia tidak suka Menteri Besar datang melawat mangsa kerana beliau menyokong parti lain.

Cuma apa yang saya katakan biarlah dia dengan sikap yang bengis itu sehingga sudah hilang rasa kemanusiaan untuk sama-sama membantu orang dalam kesusahan. Saya tidak terkejut melihat watak-watak seperti orang itu.

Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu.

Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian.

Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali.

Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci.

Salam Perjuangan

Saturday, 30 May 2009

FASTING OR HUNGER STRIKE?

As a Muslim, I have been taught that voluntary fasting (puasa sunat) is a form of the Prophet's teaching as it elevates a degree of piety.

It also means to abstain oneself from any form of lustful desire and temptation that could lead one astray. In addition it also reflects our inner strength in wanting to purify our soul. In other words, puasa sunat will bring us closer to God and purify our soul from all forms of contamination.

The Prophet always performed voluntary fasting on mondays and thursdays. Of late we hear of a group of people who have resorted to fasting to express displeasure or protest against their political nemesis.

It appears that they fast to show that they are oppressed. Fasting is the weapon to appeal to the masses. They fast to show that they are the product of the unjust system or the victim of an oppressive government.

I cannot imagine a time when they have not twisted and turned events to suit their "oppressive state".

They have managed to capture the imagination of certain ethnic groups, which, due to a long history of their oppressive dynasties, to perceive what they have manufactured as reality.

They are using it to their advantage to manipulate the masses to believe their reality until the core issue of the majority rule is totally overlooked by the masses. Having launched the hunger strike and "puasa" they are hoping to gain sympathy from the masses.

When religious scholars question the religiosity of the hunger strike as a form of protest, they camouflaged it as puasa sunat. But then this was the leader who had launched the puasa sunat complete with the head-band bearing the words "Bubar DUN. Mogok Lapar". (Dissolve the State assembly. Hunger Strike)

I was told that the hunger strike was only limited to certain hours and drinking was allowed. I wonder if this qualifies as puasa sunat.

But considering the huge publicity it was ironic that only small numbers turned up at the end of the hunger strike. The outcome for Barisan Nasional was inevitable as now the reason for their failure rests on BN and the police.

But then, who else?

Monday, 18 May 2009

HELAH PAKATAN PEMBANGKANG

KHAMIS ini 21 Mei 2009, Mahkamah Rayuan akan mendengar kes rayuan saya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 11 Mei lepas.

Seperti yang saya katakan, sebagai seorang yang menghormati kedaulatan undang-undang, saya akan menerima keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian tentang beberapa perkara yang berlaku sepanjang dua minggu ini.

Selepas posting saya yang terakhir, muncul tuduhan mengatakan saya menyamakan diri saya dengan Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyamakan diri saya dengan dua tokoh besar itu.

Posting saya telah diputar-belitkan oleh beberapa individu untuk kepentingan satu pihak yang lain. Jika diamati betul-betul tidak ada satu patah perkataan pun dalam posting itu yang menyatakan saya sehebat dua tokoh berkenaan.

Ini adalah contoh taktik dan strategi pembangkang untuk memburuk-burukkan saingan politik mereka. Fitnah serta “putar-belit” adalah cara pembangkang supaya rakyat benci kepada UMNO dan Barisan Nasional. Ini bukanlah fenomena baru.

Kedua, ialah tuduhan mengatakan saya dan BN menggunakan mahkamah bagi tujuan untuk berkuasa. Jika dilihat betul-betul, pakatan pembangkanglah yang cuba merampas kuasa menggunakan institusi mahkamah.

Ia berlaku apabila Nizar Jamaluddin dan pakatan pembangkang hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri dan dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar. Nizar membawa perkara ini ke mahkamah. Jadi tuduhan mengatakan Barisan Nasional cuba menggunakan mahkamah untuk terus berkuasa tidak timbul.

Sebaliknya pakatan pembangkanglah yang menggunakan mahkamah.

Tuduhan ini dijaja merata-rata dalam ceramah dan blog-blog tertentu. Selain itu Barisan juga dituduh sebagai “perampas kuasa”.

Soalnya, adakah logik bagi pihak yang mempunyai majoriti dituduh sebagai perampas kuasa? Barisan Nasional mempunyai 31 sokongan dalam DUN (28 kerusi dan tiga Adun bebas). Adalah tidak perlu Barisan Nasional merampas kuasa kerana mempunyai sokongan majoriti.

Bagaimanapun, pakatan tidak dapat menerima kenyataan dan terus-menerus mengadakan serangan menuduh saya serta BN sebagai perampas dan perompak. Pada hakikatnya merekalah yang cuba merampas dan merompak kuasa. Bukan BN!

Salam perjuangan.

Sunday, 17 May 2009

NST ON LINE

Jumaat lepas saya berkesempatan untuk meluangkan masa selama satu jam bersama-sama wartawan NST on-line untuk menjawab beberapa soalan dari pembaca.

Saya mengucapkan terima kasih kepada NST kerana memberikan saya peluang untuk ditemubual secara langsung. Walaupun dalam masa pendek saya harap ia dapat menjawab beberapa persoalan tentang keadaan politik di negeri Perak.

Terima kasih dan Salam Perjuangan.

Tuesday, 12 May 2009

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR YB DATO SERI DR ZAMBRY ABD KADIR
Tentang Keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei 2009

1. Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran yang terbuka.

2. Saya serta rakan2 akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

3. Saya menyeru semua penyokong2 BN serta rakyat negeri Perak supaya bertenang.

Dr Zambry Abd Kadir

PERMULAAN SEBUAH LAGI PERJUANGAN

Saya memohon maaf kepada pembaca setia blog saya kerana terlewat untuk mengemaskinikan tulisan saya. Selepas keputusan mahkamah semalam, saya bertemu dengan pemimpin-pemimpin, para peguam serta rakan-rakan untuk membincangkan tindakan kami seterusnya.

Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan ringkas akhbar, saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran yang terbuka, tanpa mempersoalkan keputusan itu.

Keputusan itu membuktikan mahkamah adil dalam melaksanakan tanggungjawab perundangan, dan sekali gus menolak persepsi yang diada-adakan oleh Pakatan Pembangkang.

Bagaimanapun saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan kami menegakkan keadilan dan membela rakyat. Ini adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.

Menegakkan kebenaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Nelson Mandela misalnya mengorbankan kebebasannya selama 27 tahun demi membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman “apartheid”.

Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.

Perjuangan menegakkan keberanian ini memerlukan “keberanian”. Mandela pernah berkata : “Saya mempelajari bahawa keberanian bukanlah bermakna tidak punya perasaan takut, tetapi Berjaya mengatasinya. Mereka yang berani bukanlah mereka yang tidak punya perasaan takut tetapi mereka yang mampu menakluki rasa takut itu. (I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man is not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear. )

Jika dibandingkan dengan dua tokoh yang disebutkan tadi, perjuangan dan pengorbanan yang saya serta rakan-rakan lalui tidaklah seteruk mereka. Sekurang-kurangnya saya tidak hilang kebebasan atau disakiti untuk menegakkan kebenaran.

Saya hanya menempuhi persepsi umum yang negatif seperti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Nizar Jamaluddin serta orang-orang kanannya.

Tuduhan terbaru ialah penggunaan bomoh yang saya rasakan amat serius kerana ia melibatkan perbuatan syirik. Ini adalah antara taktik politik kebencian (politics of hatred) yang digunakan oleh mereka supaya rakyat membenci Barisan Nasional.

Tetapi taktik seperti ini bukanlah budaya Barisan Nasional.

Memetik kata Martin Luther King Jr, kegelapan tidak akan mengatasi kegelapan. Kebencian tidak akan menghapuskan kebencian, hanya kasih sayang mampu mengubahnya. (Darkness cannot drive out darkness; only light can do that. Hate cannot drive out hate; only love can do that.)

Pada saya kehilangan jawatan Menteri Besar tidak akan mengurangkan semangat juang saya untuk menegakkan kebenaran. Jika Nizar dan rakan-rakannya yang kini mula bermaharaja-lela dan rakus kuasa (termasuk memasuki pejabat Menteri Besar seawal 7.15 pagi pada 12 Mei), menyangka keputusan mahkamah itu akan mengurangkan semangat juang saya maka mereka sudah tersilap baca.

Perjuangan menegakkan kebenaran tidak perlu pada jawatan.

Bagaimanapun saya akui adalah sukar untuk menukarkan persepsi penyokong mereka tentang saya dan Barisan Nasional. Ceramah-ceramah, laman-laman portal, serta akhbar milik pembangkang berjaya memberikan imej negatif terhadap kami.

Tidak hairanlah ada golongan yang percaya dengan tuduhan mereka kononnya adun-adun Barisan Nasional memulakan kekecohan dalam dewan undangan negeri pada 7 Mei lepas.

Bekas speaker V. SIvakumar pula seperti “buta undang-undang” mendakwa keputusan mahkamah tinggi semalam, mengatasi keputusan mahkamah Persekutuan yang mengistiharkan penggantungan saya serta enam exco sebagai tidak sah.

Padahal, Mahkamah Persekutuan mengatasi keputusan mahkamah Tinggi. Ini adalah antara contoh manipulasi yang dibuat oleh pakatan pembangkang.

Mereka hanya menerima keputusan undang-undang yang menyebelahi mereka dan menolak keputusan yang tidak bersama mereka. Inilah "selective justice" yang diamalkan oleh pembangkang.

Saya tidak akan mencerca dan menjaja keputusan Mahkamah Tinggi seperti yang dilakukan oleh Nizar dan Ngeh dalam ceramah-ceramah mereka apabila keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahi mereka.

Saya tidak dapat membayangkan betapa rakusnya mereka apabila Nizar disahkan semula sebagai Menteri Besar. Kerakusan mereka di dalam dewan tempohari mencerminkan kerakusan yang akan dilakukan sebaik sahaja Nizar menduduki kerusi Menteri Besar.

Salam Perjuangan.

Sunday, 10 May 2009

SEKILAS PANDANG

Salah satu sikap yang paling saya benci ialah bila pemimpin yang kononnya menjunjung prinsip al-Qur'an tetapi sebenarnya suka bercakap bohong. Malah yang lebih teruk ialah bila dia berbohong kepada rakyat secara terbuka.

Sinar Harian (Ahad, 10 Mei 2009) edisi Perak menyebut bekas Menteri Besar Dato Seri Nizar Jamaluddin mendakwa DYTM Pemangku Sultan Dr Raja Nazrin Shah memberi penghormatan kepadanya dengan memanggil beliau dan Ngeh Ko Ham.

Malah beliau “mendakwa” Tuanku maklum mengenai kedudukan pakatan pembangkang dengan diberi tempat duduk sebelah kanan.

Pengalaman saya dengan tindakan Nizar ini amat "menggetekkan" kata orang Perak. Saya masih ingat bila pertama kali Dewan bersidang tahun 2008, dia bermati-matian menuduh Dato’ Seri Tajol Rosli tidak menandatangani watikah penyerahan pentadbiran.

Ternyata tuduhannya palsu dan dia dengan jelas berbohong. Bagaimanapun dia tidak merasa bersalah dan tidak pernah memohon maaf.

Bila saya jadi Menteri Besar dia mendakwa saya mengubah bilik saya dengan memasang karpet baru dan sebagainya. Ini semuanya tidak benar dan fitnah semata-mata.

Peristiwa di Masjid Simpang sewaktu pilihanraya kecil Bukit Gantang di mana saya menegur tindakannya yang tidak “sopan” menganggu majlis bacaan Yassin dan solat hajat yang dihadiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dan saya, juga telah dimanipulasi seolah-olah saya angkuh dan sombong.

Kali ini dia berbohong lagi.

Dia dan Ngeh tahu apa yang dititahkan oleh Tuanku. Seperti yang dipetik oleh The New Straits Times dan beberapa laman blog, jelas suatu amaran buat mereka agar tidak menganggu perjalanan titah ucapan.

Malah bila Tuanku masuk ke Dewan mereka tidak berada di tempat masing-masing dan secara angkuh berdiri di tengah-tengah Dewan.

Berkenaan tempat duduk di sebelah kanan yang konon suatu pengiktirafan kepada beliau dan pakatan pembangkang adalah juga satu pembohongan.

Pakatan pembangkang telah menunjukkan sikap tidak hormat kepada Tuanku sejak mula lagi. Sewaktu tabik hormat ketibaan Tuanku di luar Dewan, yang mewajibkan semua Adun ada bersama, sebahagian daripada adun pembangkang dengan biadap sekali tidak menghadiri majlis itu.

Mereka berada di dalam dewan, mengubah tempat duduk Barisan Nasional dari sebelah kanan Yang DiPertua ke sebelah kiri.

Kakitangan Dewan tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka seperti tidak percaya melihat perangai Adun-adun Pakatan Pembangkang yang mencerminkan budaya kesamsengan amalan pembangkang.

Saya harap Nizar yang kononnya “alim” dan hafaz banyak al-Quran, seronok jadi imam dan baca khutbah, bermunajatlah kepada Allah dan hisablah diri agar mengelakkan orang menggelarnya sebagai “Raja Pembohong”.

Salam Perjuangan

Saturday, 9 May 2009

KEZALIMAN MINORITI


1. Secara terus terang saya tidak menjangkakan tindakan paling tidak bertamaddun sanggup dilakukan oleh Pakatan Pembangkang dalam Persidangan Dewan Perak baru-baru ini. Bukan hanya dengan tindakan bekas speaker, Sivakumar, yang keterlaluan, tetapi juga tindakan para juak ADUN-ADUN yang dengan ganas menyeberang ke arah ADUN-ADUN BN termasuklah sewaktu saya hendak bercakap.

2. Saya menjangkakan mereka akan bertindak untuk duduk di kawasan sebelah kanan seperti yang selalu ditanya oleh para wartawan. Demi menjaga keharmonian Dewan dan menghormati Dewan yang akan dirasmikan oleh DYTM Tuanku Pemangku Raja, maka saya dan rakan-rakan tidak mengendahkan tindakan mereka yang awal-awal lagi sudah mengubah tempat duduk kami.

3. Tanpa menghormati agenda persidangan, apatah lagi menghormati Tuanku Raja Nazrin speaker terus memanaskan Dewan dengan mengarahkan saya dan sembilan ADUN yang lain meninggalkan Dewan. Keadaan menjadi tegang apabila segerombolan ADUN-ADUN mereka terus menyeberang dan menyerang saya yang bangun untuk berucap.

4. Saya katakan bahawa saya tidak akan membenarkan the tyranny of the minority (kezaliman dan kekejaman golongan minoriti) untuk bertindak ke atas golongan majoriti dalam Dewan. Sewaktu mereka menjadi majoriti kita akur meskipun Dewan dipenuhi dengan hujah-hujah panas.

5. Maka saya terus mengusulkan pelucutan jawatan speaker dengan menggunakan peruntukan 13 (2) dalam Perintah Tetap. Setelah diluluskan dengan 31 menyokong, maka Timbalan Speaker mengambil tempat untuk meneruskan persidangan sehinggalah pencalonan Speaker yang baru dibuat.

6. Di waktu ini mereka terus menunjukkan tindakan-tindakan biadab, aggresif dengan tidak memperdulikan peraturan sehinggakan Timbalan Speaker yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dimaki-hamun dengan kecacatannya, dibaling buku Perintah Tetap, ditolak untuk menggagalkannya ketika mempengerusikan mesyuarat. Lebih dahsyat setiap kali Speaker baru hendak bercakap kertas ucapannya dirampas dan dikoyakkan. Mikrofonnya dipatahkan. Saya menyaksikan tidak kurang empat mikrofon dipatahkan di tempat-tempat yang diduduki oleh Speaker.

7. Namun saya tetap sabar melihat keganasan mereka. Sementara dalam masa yang sama saya memerhatikan tingkah laku tiga-N (Nizar, Nga, Ngeh) yang duduk di tempat duduk masing-masing seperti sutradara. Saya bertanya kepada Thomas Su (ADUN DAP) apakah saudara mahu menjadikannya seperti Taiwan. Katanya, “ya, saya sudah bersedia”.

8. Selama lebih empat jam kami diserang, namun kami bersyukur kerana masing-masing dapat mengawal perasaan meskipun diperlakukan bermacam cara. Maka usul untuk mengubah aturan mesyuarat dibuat.

9. Sivakumar yang sudahpun menjadi “mantan” tetap berdegil tidak mahu meninggalkan kerusi speaker. Maka R.Ganesan yang sudahpun mengangkat sumpah sebagai speaker baru memberi arahan kepada Bentara dengan dibantu oleh pihak polis bagi membawanya keluar. Bentara sudah tercedera diwaktu ini. Tetap akhirnya ia berjaya dibawa keluar.

10. Akhirnya sampai ke peringkat Titah Perasmian Tuanku yang sudahpun menanti begitu lama dan amat sabar sekali. Sewaktu Tuanku berangkat masuk ke Dewan dan bersemayam mereka (ADUN-ADUN Pembangkang) enggan duduk di kerusi masing-masing. Sehinggalah Nizar dan Ngeh dititahkan mengadap barulah masing-masing mengambil tempat.

11. Selepas Titah Tuanku, saya mengusulkan Dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan disokong oleh YB Sungai Rapat.

12. Dalam tulisan saya sebelum ini saya sudah mengatakan bagaimana dilemma Nizar dan rakan-rakannya samada hendak hadir atau tidak. Kalau hadir bermakna ia mengiktiraf kerajaan yang ada dan sidang Dewan, tetapi kalau tidak hadir ia hilang peluang untuk menunjukkan aksi-aksi drama yang hebat. Maka dia hadir. Dan tidak mengejutkan saya bila Dewan ditangguhkan beberapa orang ADUN mereka datang bersalam dengan saya sambil mengatakan “ok, it’s over”. Lalu saya bertanya kenapa mereka sanggup membuat begini bagaikan suatu drama yang direka-cipta untuk terus menimbulkan kegelisahan rakyat dengan skrip-skrip baru yang diolah agar rakyat terus menyokong mereka.

13. Percayalah selepas ini saudara/i semua akan menyaksikan sebuah drama baru yang akan ditayangkan ke seluruh Negara dengan menunjukkan “kezaliman” BN. Sampai bilakah rakyat akan menjadi mangsa kebuasan nafsu kuasa mereka?
Salam Perjuangan!